Bhg:2.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgKyN2Kksx0x2HU_H32Siay83b3Z6wti-AzM5CKQx-8Y7l0bFi0KOGE9xoXqpJ1Ll0dtTbsXnMKv3P4OzhUet-PgmCDiA0AINpqHMIBWeB-HKffOGYqul6g1n3E18HoIVYjTQUe29tjRt6B/s1600/9FFdDTHh46WEg1bCMJyBX8TS.jpg) |
Felda Lawin Selatan |
Aku harus meneruskan kehidupan dengan menggalas tanggung jawab yang
diamanahkan kepada aku dengan tabah. Setiap pagi aku akan bekerja di tanah
rancangan hingga jam 1.30 petang dengan pendapatan RM7.00 sehari. Selepas makan
tengah hari aku akan ke sini seorang diri mencuba nasib menoreh getah pokok tua
pada sebelah petang.
"Ahh, tak boleh jadi ni,
aku mesti keluar dari
sini juga…", bisik hati kecil aku.
Hujan masih belum berhenti lagi tapi memandangkan
hari semakin menghampiri malam aku terpaksa pulang dengan meredah hujan. Aku
turun dari serambi pondok dengan perlahan dan terus mendapatkan motor yang aku
letakkan di tepi pondok supaya tidak basah bila hujan kerana kusyen motor aku
sudah koyak tapi sebaliknya motor aku basah kuyup.
Aku angkat kusyen motor aku untuk mengambil baju hujan
yang biasanya aku letak di bawah kusyen tapi malangnya tidak ada di situ. Aku
termenung sejenak untuk mengingati semula di mana aku letakkan baju hujan itu.
"Tertinggal di rumah pulak…", bisik hati
kecil aku.
Aku menghidupkan motor Honda 70 c terpakai yang aku
beli secara berhutang 2 bulan yang lalu supaya mudah aku bergerak ke sana ke
mari terutamanya untuk bekerja. Setiap bulan aku mesti menyediakan wang RM85.40
sen untuk membayar ansuran motor. Bagi aku motor sangat penting kerana tempat
kerja aku terlalu jauh dari rumah samada aku bekerja di tanah rancangan atau
menoreh di sini pada sebelah petang.
Walau pun jumlahnya cuma RM85.40 sen tapi bagi aku
jumlah itu terlalu besar dan sukar untuk disediakan pada setiap bulan. Apa yang
aku harapkan ialah jika aku dapat menoreh, harapkan pendapatan dari tanah
rancangan mungkin aku tidak termampu kerana belanja rumah dan anak sekolah pun
selalu tidak mencukupi.
Aku mula bergerak perlahan meninggalkan pondok itu
dengan menyusuri jalan sempit yang hampir ditutupi lalang dalam hujan yang
masih lebat. Kilat sabung menyabung diiringi dentuman guruh yang menggerunkan.
Malam sudah mula mengganti siang, aku terus bergerak untuk keluar dari jalan
sempit dalam kebun getah menuju jalan raya yang masih jauh.
Aku teruskan perjalanan dengan meredah hujan tapi
bila tiba disatu kawasan paya, aku mula tergamam kerana kawasan paya itu sudah
dinaiki air menyebabkan titi kecil yang dibuat dari sekeping papan tebal telah
dihanyutkan air entah ke mana. Aku tongkatkan motor tanpa mematikan injennya
dan aku cuba mencari kalau-kalau papan itu ada tersangkut di mana-mana. Dalam
samar-samar aku meninjau-ninjau di kawasan semak beberapa ela dari situ.
Aku sudah mula kesejukkan, badan aku sudah basah
kuyup kerana hujan yang turun semakin lebat, tidak ada tanda-tanda akan
berhenti. Nasib aku baik kerana aku menemui papan itu tersangkut dirimbunan
pokok keduduk, aku segera mencapai dan aku letakkan di tempat asalnya iaitu
sebagai titi untuk menyeberangi parit kecil seluas 4 kaki.
Hari sudah menjangkau malam, dengan cepat aku
mendapatkan motor aku, injinnya masih hidup kerana aku inginkan cahaya lampu
untuk menemani aku. Pacat dan nyamuk bermaharaja lela, membaham tubuhku
semahunya tanpa ada rasa belas kasihan, yang penting mereka mesti menghisap
darah aku.
Aku sudah biasa dengan pacat dan nyamuk tapi aku
tidak membenarkan mereka menghisap darah aku sesuka hatinya jika aku sedar
pasti ia akan mati di tangan aku. Dalam keadaan aku sedang cemas, dalam keadaan
aku kesejukkan, pacat dan nyamuk sempat mengisi perutnya dengan darah aku dan
meninggalkan bekas gigitan pacat yang masih mengalirkan darah dibahagian kaki,
perut dan tengkok aku.
Aku teruskan perjalanan dengan melintasi titi itu dan
menaiki bukit dengan jalan yang becak dan licin. Tayar belakang motor berpusing
ligat tanpa menggerakkan motor, aku terpaksa menolak dengan kaki supaya motor
aku boleh bergerak sedikit demi sedikit mendaki bukit. Jalan raya sudah
kelihatan tapi masih jauh lagi, aku berusaha menolak dengan kaki aku untuk
cepat sampai di jalan raya.
Deruan hujan tenggelam dek deruan enjin motor aku
yang mengaum dengan kuat, tayar belakangnya berputar laju tapi bergeraknya cuma
sedikit itu pun atas bantuan kedua kaki aku. Tubuh aku yang tadinya kesejukkan
kini sudah terasa panasnya. Bau hangit dari injin motor mula menyusuk lubang
hidung aku.
Aku cuba sedaya upaya untuk tiba di jalan raya dengan
harapan injen motor tidak meragam, cuma beberapa meter saja lagi. Di tepi jalan
raya ada 3 buah rumah jika aku mengalami masalah dengan motor boleh juga aku
minta bantuan dari penghuninya. Penghuni rumah itu sememangnya sudah mengenali
aku jadi tidaklah merasa malu.
Setelah aku menggunakan seluruh tenaga aku, akhirnya
aku sampai juga di tepi jalan raya. Barulah aku merasa lega sedikit tapi
perjalan aku masih jauh lagi hampir 30 km dari sini. Aku mesti pulang juga
malam ini, isteri dan anak-anak mungkin sedang menunggu di rumah dengan
perasaan bimbang.
Dalam hujan aku bergerak perlahan, lampu motor agak
malap sedikit namun aku teruskan juga perjalanan. Air hujan yang mengenai muka
amat memedihkan, badan yang tadinya panas sudah mula kesejukkan semula. Jalan
raya ini sunyi sepi, di kiri dan kanannya hanya kebun getah, jarang-jarang ada
rumah orang.
Tidak lama kemudian aku tiba di satu persimpangan, di
situ banyak rumah-rumah orang yang diterangi oleh cahaya lampu letrik dan jalan
raya juga tidak sunyi kerana ada kenderaan yang menggunakan jalan ini walau pun
jarang-jarang sekali aku berselisih dengan kenderaan lain, namun aku merasa
lega kerana aku tidak bersendirian.
"Kenapa malam ni tak ada kereta lalu…?
Hujan agaknya…" Aku bertanya pada diri sendiri dan aku juga yang
menjawabnya.
Sebenarnya ini bukanlah pertama kali aku pulang pada
waktu malam tapi sudah beberapa kali, cuma malam ini sahaja aku pulang malam
dalam hujan lebat. Biasanya aku pulang sekitar pukul 6.30 petang cuma
kadang-kadang aku terlewat sedikit, biasalah, jika awal aku datang, awallah aku
pulang.
Seingat aku hampir sebulan aku berulang-alik dari
rumah ke pondok itu, ini adalah kali 5 aku pulang malam dan kali pertama pulang
malam dalam keadaan hujan lebat. Dalam keadaan begini aku berharap motor aku
tidak meragam injennya, tidak bocor tayarnya. Aku rela basah kuyup, aku, aku
sanggup menahan kesejukkan asalkan aku selamat sampai ke rumah.
Keadaan jalan yang bengkang-bengkok membuatkan aku sentiasa
berhati-hati, bimbang kalau-kalau ada pokok tumbang yang menghalang jalan raya.
Bimbang jika ada babi hutan melintas jalan yang tidak sempat aku elak. Aku juga
risau dalam hujan begini ada gajah melintasi jalan raya tapi aku berdoa agar
tidak dipertemukan dengan itu semua.
Hampir separuh perjalanan, aku mula melihat cahaya
kenderaan dari arah belakang menerangi malam. Aku terus memandu dengan perlahan
tapi kali ini aku kena ketepi sedikit, bimbang dilanggar oleh kenderaan yang
sedang aku lihat cahaya lampunya. Sebaik sahaja kereta itu melintasi aku,
tiba-tiba pandangan aku menjadi gelap, motor aku jadi terhuyung-hayang seketika
tapi dapat dikawal semula.
Hujan masih lebat, bunyi guruh sahut menyahut,
sekali-sekala kilat sabung menyabung, pancarannya menerangi jalan raya buat
seketika. Aku terus memandu motor aku dalam keadaan kesejukkan, tubuh makin
kuat menggigil. Aku sentiasa meletakkan kaki aku di atas injen motor, dengan
cara itu kesejukkan badan dapat dikurangkan.
Kini aku sudah memasuki kawasan kampung, aku
menggunakan jalan kecil kerana jalan ini adalah jalan pintas untuk sampai ke
tanah rancangan. Jalan kampung ini agak sempit sedikit, jika 2 buah kereta
berselisih maka salah satu kena berhenti untuk memberi laluan. Jalan ini juga
agak gelap dan sunyi, tambah lagi di waktu malam dan hujan, sudah tentu tidak
ada orang yang menggunakan jalan ini.
Jalan ini kerap digunakan oleh penduduk tanah
rancangan pada waktu siang untuk ke pekan kecil berhampiran kampung ini. Jalan
ini juga sering ada gangguan makhluk halus, itu menurut cerita-cerita orang
tanah rancangan, benar atau tidak Waullahhualam. Benar atau tidak aku sudah
mula rasa takut.
"Silap aku masuk jalan ini, kalau ikut jalan
tanah rancangan kan bagus", Bisik hati aku dengan seribu sesalan.
Diwaktu malam begini jalan kampung ini terlalu sunyi
tambahan pula hujan, tentu tidak ada orang yang melalui jalan ini. Rumah-rumah
kampung sudah aku lalui, kini aku berdepan dengan jalan sempit dan
dikiri-kanannya adalah belukar, kebun getah yang semak tidak dijaga. Aku
tabahkan hati dan berdoa agar tidak bertemu dengan apa yang telah diceritakan
oleh orang.
Aku pandu motor aku dengan perlahan, cahaya dari
lampu motor yang kekuningan membuatkan penglihatan aku menjadi kurang jelas,
ditambah lagi dengan titisan hujan yang memasuki mata aku. Aku mengusap muka
beberapa kali bagi mengelak air hujan terus memasuki mata aku.
"Eh kenapa ni?", Kata hati aku setelah
merasakan motor aku menjadi gelong-gelong.
Aku terpaksa berhenti di tengah jalan yang sunyi dan
melihat apa sudah jadi dengan motor aku, mungkin tayarnya bocor. Aku meraba
tayar belakang dan memicik, sahlah tayar belakang sudah tidak ada angin lagi.
Terpaksalah aku berjalan kaki dengan menuntun motor dalam keadaan injennya
masih hidup untuk mendapatkan cahaya lampu. Aku gunakan gear satu supaya senang
aku bergerak. Hujan masih belum reda, tubuh yang tadinya menggigil kesejukkan
kini mula terasa panas.
Bersambug.....
1.