Saturday, August 20, 2011

Berhijrah ke Gerik..

Dari Bab 9.
Pemandangan Bandar Gerik tahun 1975

Sejak kami berpindah ke Gerik, kami mendapat kebun yang berbukit-bukit. Pada mulanya agak sukar juga, tapi bila sudah biasa kami tidak ada masaalah lagi. Dahulunya kami tidak pernah jumpa pacat, tapi bila berada di Gerik kami jadi habuan pacat setiap kali ke kebun.

Pintu masuk Pekan Gerik.
Dahulunya kami membuat getah keping bersaiz, lebar 1.1/2 kaki dan panjangnya 3 kaki. Tapi bila kami berada di Gerik, kami kena belajar membuat getah keping bersaiz 2 kaki lebar dan 7 kaki panjang.

Begitulah keadaan saya dan keluarga memulakan kehidupan baru di Gerik yang terkenal dengan kawasan hitam, kerana masa itu Gerik adalah sarang komunis. Setiap masa kami mendengar komunis menyerang kem-kem askar yang berkawal dan menjaga keamanan.



Semasa pembinaan Empangan Hidro Elektrik di Temenggor, komunis bermaharajalela, begitu juga semasa pembinaan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan antara Gerik di Perak dan Batu Melintang di Kelantan. Ramai askar-askar yang terkena jerangkap samar komunis.

Selang beberapa bulan, saya mendapat kerja sebagai buruh kontrek didepan Bast Came, kira-kira 6 batu dari rumah sewa pak cik Ayub. Saya bekerja bersama adik ipar saya dengan gaji harian RM7.00 sehari.

Saya dan adik ipar bekerja membina tapak bangunan C.E.B baru (sekarang T.N.B). itulah kali pertama saya bekerja sebagai buruh kontrek yang terpaksa berpanas dan berhujan dengan gaji harian. Ada keja ada duit.

Hampir lima bulan saya bekerja sebagai buruh kontrek, kemudian saya dan bapa serta adik ipar mendapat kerja baru sebagai pemotong rumput di dalam kawasan penempatan kakitangan C.E.B lama.

Setahun lebih kami bekerja sebagai pemotong rumput kemudian kami berhenti kerana kontrek telah tamat. Sementara menunggu dapat kerja baru saya menoreh semula. Kali ini saya mendapat kebun di kampung Jagor, hampir 4 batu dari kampung Perah.

Dengan menggunakan basikal, saya berulang dari rumah di kampung Perah ke kampung Jagor setiap pagi. Menggunakan basikal agak meletihkan kerana jalannya yang berbukit tidak seperti di Sitiawan.

Hinggalah beberapa bulan kemudian, saya sekeluarga berpindah ke kampung jagor untuk memudahkan urusan kerja menoreh. Bapa dan ibu mendapat rumah dan kebun baru di kampung jagor. Walaupun rumah yang kami duduki beratapkan bertam dan berdinding serta lantai dari buloh.

Kami merasa selesa kerana tidak membayar sewa. Rumah itu disediakan oleh tuan kebun kami yang bernama Abang Rashid (sekarang Hj. Rashid). Bermulalah kehidupan kami sekeluarga di rumah itu.

Seawal 2.00 pagi, saya dan ibu turun menoreh. Kerja kami agak mudah sedikit kerana rumah kami di dalam kebun itu juga. Pendapatan yang kami perolehi hasil dari kebun dibahagi dua dengan tuan kebun.

Hampir setahun saya tinggal di rumah itu. Saya mendapat beberapa orang kawan yang sentiasa menemani saya, menjerat pelanduk, menembak burung dan keluar ke pekan Gerik menonton wayang, sentiasa kami berempat.

Seperti juga orang lain, saya ingin memiliki sebuah motor untuk kemudahan. Kawasan Gerik yang berbukit tidak sesuai menggunakan basikal kerana ..Naik …Turun,… Dan …Turun …Naik…

Maksudnya. Bila kami menggunakan basikal, kami akan turun dari basikal untuk menolaknya semasa menaiki bukit. Dan kami akan menaiki basikal apabila menuruni bukit.

Saya suarakan hasrat hati saya kepada ibu. Ibu tidak membantah tapi saya kena kumpulkan duit untuk membayar muka (pendahuluan) jika ingin memilikinya. Bukan senang untuk mengumpulkan duit sebanyak RM600.00 (Enam ratus) hasil dari menoreh.

Kata ibu, saya perlu mendapatkan lesen memandu terlebih dahulu sebelum membeli motor. Masa itu untuk mendapatkan lesen memandu kereta dan motor perlu membayar RM400.00 (Empat ratus). Apapun saya perlu mengambil lesen L dahulu. Masa itu lessen L cuma Rm20 untuk tempoh 3 bulan.

Berkat usaha gigih ibu kami sekeluarga menoreh tanpa mengenal penat, akhirnya ibu dan saya dapat mengumpulkan wang setelah enam bulan lebih menoreh. Saya mengajak adik ipar saya ke pekan Gerik untuk membeli sebuah motor terpakai jenama Honda 70 di kedai Gerik Motor.

Bersambung......

Rahsia Menjana RM 1000 - RM 3000 Sebulan Setiap Bulan . Tanpa Mesin , Tanpa Pejabat Dan Tanpa Pekerja??? Dapatkan ebook di sini.

No comments:

Post a Comment