Saturday, August 20, 2011

Bertemu Pasangan Hidup...

Dari Bab 9.


Setelah saya fikirkan semasak-masaknya. Saya tidak kisah siapa pasangan saya, asalkan dia rela hidup susah seperti mana hidup saya selama ini. Asalkan dia tidak mengira apa bangsa dan keturunan saya.

Malam itu saya membaca semula surat dari Siti. Saya cuba untuk membalas surat itu dengan mengatakan kepadanya keadaan saya sebenar. Setelah siap saya menulis surat itu, saya lipatkan tanpa menggunakan sampul dan setem.

Masaalahnya… Kepada siapa hendak saya kirimkan….? Hendak diberikan kepada kak Yah, rasa segan….? Hendak di poskan di pejabat pos tidak tahu apa alamatnya. Apapun saya simpan dahulu surat itu.

Hari mencipta sejarah.


Petang itu selepas menoreh, saya duduk di tangga sambil termenong memikirkan masa depan saya, jika saya berumah tangga kelak. Bolehkah saya membahagiakan isteri saya dengan pendapatan yang tidak seberapa. Saya tidak ada kebun sendiri, hidup cuma mengambil upah menoreh kebun orang.

Bolehkah seorang isteri menerima kasih sayang sahaja tanpa harta untuk membeli barang kemas. Pakaian yang cantik. Melancung dan sebagainya. Sedangkan saya tidak mampu untuk menyediakan semua itu buat masa ini. Saya sendiri pun sentiasa berpakaian buruk.

Jika saya sudah berkahwain, pastinya akan ada anak yang ramai. Mampukah saya menyediakan makan dan pakaian. Persekolahan yang memerlukan wang. Jika boleh saya tidak mahu anak-anak saya itu nanti menerima nasib yang sama seperti saya.

Kalau boleh… Saya ingin memiliki kebun sendiri sebelum saya berkahwin.
Kalau boleh… Saya ingin menyediakan segala kemudahan sebelum saya berkahwin.
Kalau boleh… Saya ingin memiliki rumah sendiri sebelum saya berkahwain.
Kalau boleh… Saya ingin memiliki kereta sendiri sebelum saya berkahwain.
Kalau boleh… Saya ingin memiliki Siti Fatimah jika saya berkahwin.
Kalau saya mati dahulu…? In’nalillah’hiwa’ina’ilaihirojiun..

“Ado nok kirim ko..? (Ada hendak kirimkah?)”, suara kak Yah dalam loghat kelantannya mengejutkan lamunan saya. Entah bila kak Yah datang, tiba-tiba tercegat di depan saya.

“Aaada..”, saya menjawab. Hendak menyebut… Ada surat… Rasa berat mulut.

“Maghi… kak Yah nok gi sano ni.. (bagi surat itu, kak Yah hendak pergi ke sana sekarang)”, kak Yah memintanya seolah-olah sudah memahiminya.

Saya menghulurkan surat itu kepada kak Yah. Surat itu sentiasa di poket saya.


“Bilo mu nulihnyo…? (Bila kamu menulisnya?)” Tanya kak Yah kepada saya.

“Semalam..”, jawab saya bercampur rasa malu.

Kak Yah mengambil surat itu sambil tersenyum sinis dan berlalu meninggalkan saya yang sedang berdebar-debar di dada.

Dalam hati saya mengandungi seribu persoalan. Adakah surat itu sampai ke tangan Siti…? Adakah Siti berubah fikiran setelah membaca surat saya itu…? Harap-harap semuanya berjalan dengan baik tanpa ada prasangka buruk.

Dua hari memudian saya menerima surat dari kak Yah. Surat jawapan dari Siti. Saya membaca dengan teliti. Jawapanya melegakan saya. Siti sanggup melalui apa jua keadaan setelah menjadi isteri saya, kerana Siti sangat sukakan saya.

Ayat-ayat dalam surat itu sangat menarik seperti seorang terpelajar, bukan tulisan orang sekolah darjah 6. Menurut cerita dari abang Rashid, Siti cuma sekolah darjah 6. Mungkin Siti pelajar terbaik di sekolah rendah, tidak seperti saya.

Ibu memberitahu saya, bahawa ibu juga berkenan dengan Siti. Kalau saya setuju, ibu akan uruskan meminang Siti. Saya tidak memberi jawapan lagi masa itu, kerana saya sedang memikirkan tentang duit. Saya tidak ada duit simpanan lagi.

“Nanti mak tanya abang Shid dulu, berapa hantarannya..”, ibu bersuara.

Nampaknya ibu bersungguh-sungguh untuk mengambil Siti sebagai menantunya.

“Kita mana ada duit lagi mak..”, jawab saya.

“Nanti kita minta tempohlah..”, jawab ibu.

Bersambung.....

No comments:

Post a Comment