Friday, August 19, 2011

Di Kejar Hantu...

Dari Bab 6.


Selepas mandi dengan cepat saya mencapai basikal dan mengayuhnya dengan laju, saya takut tidak sempat balik ke rumah kerana hari hampir malam. Dalam perjalanan ke pekan, saya terdengar suara yang agak menakutkan saya.

“Wuuuuuu….”, bunyi suara itu.

“Bunyi apa tu..”, kata hati saya bercampur rasa takut.

Saya mengayuh dengan lebih laju lagi, tapi suara itu semakin kuat mengejar saya. Tanpa pandang belakang, saya terus memecut sekuat hati. Memang sah hantu itu mengejar saya sebab bunyinya yang menakutkan itu semakin kuat.

Setibanya saya di persimpangan pekan Kampung Koh, saya perlahankan basikal saya, kerana di situ agak sibuk sedikit dengan kenderaan yang lalu-lalang.

Bunyi yang menakutkan itu sudah tidak kedengaran lagi, mungkin hantu itu takut di tempat yang sibuk, dengan bunyi deruan injen motor dan kereta serta riuh rendah orang di pekan. Mungkin di tempat sibuk begini tidak ada ketenangan bagi kaum hantu… Agaknya….


Tibanya saya di kedai asam, saya terjumpa bapa kawan saya, pak cik K (bukan nama sebenar) yang tinggal di sebelah rumah saya. Pak cik K baru pulang dari kerja di kilang papan di pekan kampung Koh.

“Beli apa nor…”, tanya pak cik K kepada saya.

“Beli minyak nyok (minyak kelapa)…”, saya jawab sambil masuk ke dalam kedai.

“Pakcik hendak balik nanti, tunggu saya ya…”, saya minta pak cik K menunggu saya supaya dapat pulang bersama.

Setelah selesai membeli barang, saya dan pak cik K beredar dari kedai asam. Kami berkayuh beriringan sambil berbual-bual. Tergerak hati saya untuk menceritakan kepada pak cik K yang tadinya saya dikejar hantu.

“Hantu..?”, pak cik K seolah-olah terkejut.

Saya pun terkejut juga, serta merta meremang bulu tengkuk saya, hari sudah hampir malam.

“Iyaa..”, saya cuba meyakinkan pak cik K.

“Mana ada hantu..!!!”, jawab pak cik K macam tidak percaya cakap saya.

“Betul pak cik…”, saya cuba meyakinkan pak cik lagi.

“Kamu nampak..?”, pak cik K bertanya lagi.

“Tidak…. Cuma bunyinya yang kejar saya sampai dekat pekan itu..”, jawab saya dengan penuh semangat.

“Bunyi macam mana..?”, pak cik K bertanya lagi.

Saya cuba membunyikan dengan mulut saya, “Wuuuuu…Begitu”.

Kami berkayuh secara beriringan, pak cik K di bahagian tepi jalan manakala saya berada di bahagian tengah jalan kerana jalan raya itu tidak banyak kenderaan yang lalu- lalang di situ tambahan pula hari sudah hampir malam, jalan menjadi lengang dan sunyi sepi, masa itu cuma saya dan pak cik K sahaja yang menggunakan jalan raya itu.

“Mana kamu tahu bunyi itu hantu..?”, tanya pak cik K lagi.


“Habis, cuma bunyi saja…bendanya tidak nampak.. hantulah…?”, jawab saya dengan bersungguh-sungguh.

“Bila saya kayuh dengan laju…Bunyinya pun menjadi kuat, bila perlahan, bunyinya pun perlahan…”, sambung saya lagi.

Pak cik K terdiam, seperti sedang berfikir sesuatu.

“Ooo…Bunyi itu, pak cik baru ingat..”, tiba-tiba pak cik K bersuara.

“Kenapa pakcik..?”, saya kehairanan.

“Itu.. Kamu membawa botol minyak yang masih kosong tadi..”, kata pak cik sambil tangannya menunjuk ke arah botol minyak yang tergantung di basikal saya.

“Kenapa dengan botol minyak pak cik…?”, saya bertanya pak cik dengan kehairanan.

“Yalah.. Tadi botol itu masih kosong lagi.., kamu kayuh dengan laju.., bila kena angin berbunyilah botol kosong itu, kalau tidak ada penutupnya….”, jawab pak cik K sambil tersenyum.

“Kamu kayuh perlahan, perlahanlah bunyinya..?”, sambung pak cik K lagi.

Saya terdiam seketika sambil mentafsir kata-kata pak cik K.

“Betulkah pak cik…?”, saya bertanya ingin kepastian.

“Betul…”, jawab pak cik cuba meyakinkan saya lagi.

“Ha..ha..ha..ha…, penakut..”, pak cik K mentertawakan saya.

“Binawe…., punya botol, menakutkan saya saja…! Kata hati saya, malu dengan pak cik K.

Setibanya di rumah, malam itu saya cuba menceritakan kisah tadi kepada bapa dan ibu, tapi jawapannya adalah sama dengan pak cik K tadi. Sahlah saya telah diusik oleh botol kosong. Malu pada pak cik, malu pada diri sendiri kerana terlalu penakut.
Bersambung........

No comments:

Post a Comment