Sunday, August 21, 2011

Hospital 1981..


“Awak cuma ada satu pilihan diantara dua, isteri atau anak, jika isteri awak bersalin di kampung.” Kata doktor yang membuat pemeriksaan ke atas isteri Erno.

“Tak bolehkah diselamatkan keduanya tuan.” Erno bertanya kepada doktor.

“Saya bukan Tuhan, apa yang saya kata itu adalah berdasarkan kepada pengalaman.” Kata doktor itu sambil menulis sesuatu di buku catatannya.


“Isteri saya takut untuk bersalin dengan cara pembedahan itu tuan.” Kata Erno.

“Awak dengar nasihat saya, pembedahan tidak akan menyakitkan, malahan ianya lebih mudah dari bersalin cara biasa, kerana teknologi sekarang sudah canggih.” Kata doktor.

Erno terdiam seketika bila mendengar kata-kata doktor itu. memang benar kata doktor itu, dengan kecanggihan teknologi hari ini, semuanya menjadi lebih mudah jika di bandingkan dari sebelumnya, tapi Imah isteri Erno masih rasa gerun bila mendengar perkataan, pembedahan.

“Awak jangan risau, semuanya akan selamat dengan cara pembedaan.” Kata doktor itu lagi.

“Baiklah tuan, saya akan berbincang dengan isteri saya nanti.” Kata Erno.

Erno bangun dan keluar dari bilik doktor dengan keserabutan di fikirannya.

“Apakan daya, mungkin sudah suratan takdir, Imah terpaksa bersalin dengan cara pembedahan untuk anak kami.” Bisik hati Erno.

Erno menemui isterinya Imah yang sedang menunggu di luar dengan wajah muram kerana usahanya untuk menggecualikan isterinya dari pembedahan ketika melahirkan anak pertamanya tidak berjaya.
Menurut doktor, isteri Erno mesti melahirkan dengan cara pembedahan kerana kandungan isteri Erno sudah melebihi jangkaan, lagi pun keadaan bayi dalam kandungan itu besar, sedangkan isteri Erno berbadan kecil, kemungkinan akan mengalami kesukaran ketika bersalin kelak.

“Abang dah cuba Imah, tapi gagal, doktor kata, Imah kena bedah juga.” Kata Erno kepada isterinya.

“Tapi Imah takut la bang.” Jawab isteri Erno.

“Entahlah, abang pun tak tahu nak buat macam mana lagi.” Kata Erno yang masih kebinggungan.

“Jom kita balik dulu, nanti kita fikirkan lagi di rumah.” Kata Erno sambil memimpin tangan Imah menuju ke motor Vespa berwarna teh susu miliknya.

Erno menghidupkan injen motor Vespanya beberapa kali tapi tidak juga hidup, mungkin palam pencucuhnya tidak berfungsi. Erno membuka penutup injen Vespa untuk membuka palam pencucuh dan membersihkannya.
Setelah dibersihkan palam pencucuh, Erno cuba menghidupkan motor itu, kali ini Erno berjaya lalu menutup semula penutup injennya. Erno membawa Imah pulang ke rumah dengan harapan akan ada jalan penyelesaiannya.

Erno dan Imah tinggal di sebuah perkampungan yang agak jauh kependalaman di daerah hulu Negeri Perak. Erno tidak mempunyai pekerjaan tetap, sumber pendapatannya hanyalah dari mengambil upah menoreh getah. Erno juga tidak mempunyai rumah kediamannya sendiri, sebaliknya hanya menumpang di rumah tuan kebun tempat dia mengambil upah menoreh.

Tiba di rumah, Erno menongkat motornya di tepi rumah yang agak kecil itu, lalu duduk di beranda sambil memikirkan tentang Imah yang akan melahirkan bila-bila masa sahaja lagi kerana jangkaannya sudah lewat.
Imah terus naik ke rumah menyalin pakaian dan menuju ke ruang dapur untuk memasak walaupun dalam keadaan sarat mengandung yang sudah melebihi jangkaannya.

Inilah yang merunsingkan fikiran Erno, mungkinkah tersalah jangkaan dan menyebabkan lambat untuk melahirkan anak pertamanya.

Ibu Imah telah meminta beberapa kali kepada Erno untuk membawa pulang ke kampungnya di Kelantan dan melahirkan cara biasa di kampungnya tapi Erno agak keberatan untuk membenarkan kerana Imah tidak mahu berjauhan dengan Erno.

Biarlah apa pun terjadi asalkan Imah ada di sisinya. Imah juga lebih suka berada di sisi Erno selalu, Imah sangat sayangkan Erno begitu juga dengan Erno, tidak ada sesiapa pun yang akan memisahkan mereka kecuali Tuhan yang Maha Esa.

“Bang!! Mari makan…” Imah memanggil Erno.

Erno masih termenung di beranda, tidak menyedari isterinya telah memanggil untuk makan bersama.

“Abang!! Jom makan…” Imah memanggil Erno buat kali keduanya.

“Ye… ye… abang datang.” Jawab Erno lalu tergesa-gesa naik ke rumah mendapatkan isterinya yang sedang menunggu.

“Hari ni kita makan lauk ikan masin semalam je.” Kata Imah setelah Erno menghampirinya.

“Tak apa, asalkan kita dapat makan.” Jawab Erno sambil duduk bersila di sisi isterinya.

“Sepatutnya abang kena sediakan makanan yang sedap-sedap untuk Imah, tapi abang masih tak mampu lagi.” Kata Erno.

“Sejak kita kawin sampai sekarang, abang belum ada kerja, harapkan menoreh macam ni la makanan kita.” Kata Erno lagi.

“Tak apa la bang, Imah tak kisah semua tu, mungkin ada rezekinya nanti.” Kata Imah sambil memandang ke arah suaminya.

“Tengoklah ni, hari-hari sayur air betik muda.” Kata Erno.

“Abang cukup duit ke nak pegi hospital Ipoh esok?” Tiba-tiba Imah bertanya.

“Abang rasa cukup kot buat tambang pegi balik.” Jawab Erno.

Selepas makan dan mengemas, Erno duduk semula di beranda bersama Imah. Imah kelihatan sugul sedikit dari biasa mungkin kerana memikirkan hari esok yang menakutkan itu. Erno memandang ke arah Imah yang duduk di sisinya.

“Imah rasa, biarlah Imah bersalin dengan cara pembedahan tu, kita dah usaha mintak dikecualikan tapi tak dapat.” Imah mula bersuara.

“Imah berani ke?” Jawab Erno sambil memandang isterinya.

“Berani atau tidak, Imah akan hadapi juga demi anak kita.” Kata Imah dengan nada sayu.

“Imah benar-benar yakin?” Erno bertanya.

“Ye bang… Imah akan hadapi dengan tenang, asalkan abang ada disamping Imah selalu.” Jawab Imah.

“Tapi… Abang yang lebih risau.” Kata Erno lalu memegang tangan Imah.

“Kita berdoa, semoga semuanya selamat.” Jawab Imah sambil membalas pegangan tangan suaminya.

“Abang akan sentiasa di samping Imah, percayalah!” Kata Erno.

“Abang suka anak lelaki ke perempuan?” Imah bertanya.

“Dua-dua abang suka.” Jawab Erno.

“Erno… Erno…” Suara ibu Erno memanggil.

“Aaa… Ya mak, ada apa?” Erno tersedar dari lamunannya.

“Ni uri anak kamu, Imah dah selamat melahirkan.” Kata ibu Erno.

“Alhamdullah Syukur.” Kata Erno.

Dari petang tadi hingga jam 10.00 malam, Erno dan ibunya menunggu di bilik pembedahan, menunggu berita tentang Imah penuh dengan tanda tanya, bagai mana keadaan Imah ketika menjalani pembedahan, kini semuanya sudah terjawab.

“Anak saya lelaki ke perempuan? Di mana anak saya mak?” Erno bertanya kepada ibunya seperti tidak sabar.

No comments:

Post a Comment