Sunday, August 21, 2011

Menangis Di Dalam Bas



Setelah berehat di bangku panjang, saya berjalan menuju ke pondok menunggu bas di hadapan Hospital untuk melihat-lihat kenderaan yang ke hulu ke hilir tanpa henti. Sekurang-kurangnya hilang rasa jemu bila saya berada di situ buat seketika.

Cuaca malam itu menunjukkan tanda-tanda hari akan hujan, angin sepoi-sepoi bahasa bertiup perlahan, membuatkan tubuh saya terasa kedinginan.

“Sudah lama saya tidak berselimut ketika tidur…”, bisik hati saya.



Tiba-tiba sebuah bas berhenti di hadapan saya untuk menurunkan penumpang. Setelah menurunkan dua oarang penumpang, bas itu beredar meninggalkan pondok bas, tempat saya sedang duduk.

Saya terus memandang bar tersebut hingga hilang dari pandangan. Bila saya melihat bas itu, saya teringat bagaimana mula-mula belajar menaiki bas sendirian, ketika itu umur saya baru 9 tahun.

Saya disuruh oleh ibu pergi ke rumah nenek di kampung Kayu Ringgis. Saya menaiki bas dari Batu 14 lekir, dengan pakaian saya berseluar pendek besar, baju kemeja kotak-kotak dan berselipar jepun, saya diberikan duit 50 sen untuk tambang bas.

Setelah lama menunggu bas di tepi jalan bersama ibu, maka tibalah sebuah bas berwarna putih hijau berhenti di depan saya setelah ditahan oleh ibu. Saya pun naik dengan cepat dan duduk di kerusi depan sekali. Ibu hanya menghantar saya untuk menunggu bas sahaja.

Bila bas sudah bergerak, konduktor yang berketurunan Cina datang menghampiri saya untuk meminta duit tambang. Saya menyeluk poket seluar, saya dapati duit 50 sen tidak ada dalam poket. Saya mula menggelabah dan takut. Saya seluk poket kiri dan kanan beberapa kali.

“Ke mana hilangnya duit saya?”, bisik hati saya bercampur rasa takut kerana konduktor itu sedang berdiri di depan saya meminta wang.

“Alik, mana luik…? (Adik, mana duit?)”, konduktor itu meminta wang sambil menghulurkan tangannya di depan saya.

Oleh kerana penik dan rasa takut, saya terdiam sambil memandang kearah konduktor itu.

“Lu talak luik, turun sikalang!!! (Kamu tidak ada wang turun sekarang!!!)”, konduktor itu memarahi saya.

Takut yang teramat sangat membuatkan saya mula menangis. Konduktor itu cuma melihat saya bila saya menangis, malu pun ada dilihat lima enam orang dalam bas itu. Sepanjang perjalanan itu saya tidak henti-henti menangis.

Sampai dipersimpangan jalan ke kampung Kayu Ringgis, saya membunyikan locing bas, bila bas berhenti saya turun, sempat lagi konduktor itu memarahi saya.

“Lain kali bawak luik… (Lain kali bawa duit)”, kata konduktor itu.

Dari jalan raya, saya berjalan kaki hampir 3 batu melalui kebun getah untuk sampi ke rumah nenek. Setibanya di rumah nenek, saya ditegur oleh nenek, kenapa mata saya merah. Saya menceritakan kepada nenek apa yang belaku.

Nenek menyeluk poket seluar saya didapati poket seluar saya bocor, duit 50 sen pemberian ibu tadi entah di mana tercicirnya. Masa hendak pulang semula ke Batu 14, nenek memberikan duit tambang, kali ini nenek menyimpulkan duit itu di bucu sapu tangan supaya tidak tercicir lagi.

Semasa menunggu bas di tepi jalan, saya berharap bas yang lain yang akan melalui jalan itu. Tapi malangnya bas yang sama juga. Konduktor itu sudah menunggu di tangga ketika bas itu berhenti.

“Luik ala ka…(Duit ada atau tidak?)”, konduktor itu bersuara dari tangga bas.

Saya menganggukkan kepala sambil menunjukkan sapu tangan yang bersimpul duit di dalamnya.

“Ha… naik cupat… (Naik cepat)”, kata konduktor itu.

Dengan cepat saya naik dan duduk di kerusi tengah dan saya membuka simpulan sapu tangan.

Oleh kerana nenek mengikatnya terlalu kuat, sukar saya hendak membukanya. Konduktor itu berdiri di tepi saya sambil melihat saya membuka simpulan sapu tangan tapi tidak boleh dibuka.

“Angkat mali, wa bukak… (Bagi saya buka)”, konduktor itu meminta dari saya.

Saya memberikan sapu tangan itu kepada konduktor untuk dibuka.

Setelah membuka sapu tangan itu, kondaktor mengira duit siling itu saya pun tidak tahu berapa jumlahnya.

“Tambang lua puluh sen… tadi punya lua puluh sen… wa kasi lu lua tikit pigi balik (Tambang dua puluh sen,yang tadi punya dua puluh sen, saya bagi kamu dua tikit pergi dan balik)”, kata kondaktor.

Bakinya 30 sen dipulangkan kepada saya bersama sapu tangan tadi. Sampai di rumah, ibu bertanya kepada saya.

“Bayar tambang bas dengan apa tadi…?”. Kata ibu.

saya menjawab, “dengan air mata”.

“Kamu nangis dalam bas…?”, ibu bertanya.

“yalah… dah kena marah”, jawab saya.

“Mak jumpa duit kamu tempat tunggu bas tadi”, kata ibu.

Bapa tersenyum mendengar cerita saya.

Cahaya kilat diiringi guruh yang kuat membuatkan saya terkejut dan terhenti dari lamunan saya.

“Hari nak hujan”, bisik hati saya.

Saya bangun dan beredar dari pondok bas itu menuju ke kawasan Hospital untuk mencari tempat tidur.

Saya berjalan menuju ke ruang menunggu untuk melihat jam di dinding. Sudah pukul 11.00 malam. Saya duduk seketika di situ sambil memikirkan di mana tempat tidur yang sesuai. Malam itu cuaca sangat sejuk dari malam-malam sebelumnya.

Hujan sudah mulai turun. Saya duduk di kaki lima di tepi ruang menunggu. Mata mulai mengantuk. Perut sudah mula keroncong kerana lapar. Angin mula bertiup agak kencang, menyebabkan tempat saya duduk mulai tempias.

Saya bangun dan beredar dari situ. Saya masuk ke ruang menunggu, oleh kerana ramai orang berada di situ, saya mencari tempat lain untuk berlindung dari tempias hujan. Malam semakin larut, hujan semakin lebat, saya hanya berdiri di laluan berjalan kaki.

Oleh kerana saya berdiri lama, saya mula rasa hendak pitam, badan saya berpeluh walaupun cuaca dingin. Saya masuk semula ke ruang menunggu untuk mendapatkan tempat duduk, tapi di ruang menunggu yang sempit itu tidak ada bangku kosong.

Saya duduk di lantai simen di satu penjuru di ruang menunggu sambil menyardarkan belakang saya di dinding. Saya membuka sedikit butang baju saya untuk mendapatkan udara dengan harapan saya tidak terus pitam.

No comments:

Post a Comment