Friday, August 19, 2011

R Pergi Tanpa Pesan...

Dari Bab 8.


Lima minit kemudian sebuah teksi berhenti di depan saya. Saya minta dihantar ke hentian teksi Ipoh. Sampai di hentian teksi yang akan menghala ke Ipoh sudah sedia ada. Mulalah perjalanan saya menuju Ipoh dan meninggalkan kota Kuala Lumpur.

Hampir empat jam perjalanan, sampailah saya di bandar Ipoh. Teksi menuju ke Sitiawan sudah sedia untuk bertolak cuma menunggu seorang lagi penumpang. Lima belas minit kemudian datang seorang India mendapatkan teksi untuk ke Sitiawan. Cukup empat orang, teksi pun mula bergerak.

Ini adalah perjalanan jauh yang pertama dalam hidup saya, sebelum ini saya begitu takut untuk pulang seorang diri. Dalam perjalanan itu saya sudah membayangkan akan bertemu ibu dan bapa.

Saya akan ke rumah R jika saya tiba awal di rumah. Saya membayangkan, R akan terkejut dan gembira melihat kepulangan saya dan terubatlah segala rindu yang terpendam selama ini.



Tidak ada buah tangan dari Kuala Lumpur untuk R. Saya akui sebenarnya saya tidak pandai membeli apa-apa hadiah untuk R. Yang ada cuma senyuman yang saya bawa pulang untuk R, itu pun jika R masih ingatkan saya. Kerana selama saya di Kuala Lumpur, R tidak menghantar khabar berita kepada saya.

Sampai di Sitiawan, saya menaiki bas ke Kayan untuk sampai di Kampung Koh. Dari Kampung Koh, saya akan berjalan kaki sejauh 4 batu untuk ke rumah, jika tidak ada sesiapa yang keluar ke pekan. Kepulangan saya sememangnya tidak diketahui oleh bapa dan ibu.

Memang benar sangkaan saya, setibanya di pekan Kampung Koh tidak ada sesiapa pun dari Kampung Kayu Ringgis yang keluar ke pekan itu. Menapaklah saya selangkah demi selangkah seorang diri. Hari pun sudah hampir senja, mungkin sempat sampai ke rumah sebelum malam menjelma.

Hampir sebatu perjalanan saya, seorang Cina yang mengenali saya menyapa saya dari belakang. Setelah saya memberitahu dia, saya hendak pulang, dia sudi menghantar saya. Dengan menaiki motor Honda 50cc, dia menghantar saya sampai ke rumah.

“Begitulah hukum Tuhan, jika kita berbuat baik, balasannya baik juga. Berbuat baik tidak mengira kepada siapa. Tidak mengira bangsa atau kaum, kaya atau miskin Wa’ima kepada Alam dan isinya. Allah akan memberi ganjarannya samaada tunai atau di akhirat kelak. Wallah hu’alam.”

Bapa dan ibu terkejut dengan kepulangan saya pada hari itu. Berbagai soalan yang diajukan kapada saya. Bapa dan ibu menyangka saya lari dari kerja tanpa memberitahu tuan kedai. Setelah mendengar cerita saya dari awal barulah bapa dan ibu faham keadaan sebenar. Cuma bapa dan ibu hairan bagaimana saya boleh pulang sendirian dari Kuala Lumpur.

Malam itu saya berbual-bual dengan ibu. Oleh kerana saya tidak sabar menunggu esok untuk bertemu R, saya pura-pura bertanya khabar pak cik M (ayah R). ibu memberitahu bahawa pak cik M sudah berpindah ke Batu 8 Lekir.

Pak cik M berpindah selepas sebulan (lebih kurang) saya pergi ke Kuala Lumpur dan anak pak cik M yang bernama R sudah meninggal dunia semasa di Batu 8 Lekir kerana sakit buah pinggang.

Tiba-tiba keluar dari mulut ibu perkataan yang tidak ingin saya dengar. Perkataan yang memilukan hati saya. Saya amat terkejut sekali mendengar berita itu. Saya bangun dan beredar dari tempat ibu. Saya duduk di beranda rumah sambil mengenangkan R. Mengapa saya tidak diberitahu…?

Air mata saya mengalir membasahi pipi, dada saya sebak sekali. Dalam kegelapan malam saya menangis seorang diri. Insan yang saya sayangi telah pergi meninggalkan saya tanpa pesan buat selamanya.

Mengapa begitu cepat sekali ia berlaku, tidak sampai setahun saya di Kuala Lumpur. Saya sudah kehilangan orang yang saya rindui. Mengapa R tidak memberitahu saya semasa sakitnya...?

Pada sebelah pagi, ibu dan bapa saya pergi ke kebun. Saya mengambil basikal saya yang sudah lama saya tingglkan itu, untuk pergi ke rumah ayah R. tanpa memperdulikan di mana rumahnya, saya terus mengayuh basikal menuju Batu 8 lekir.

Sampai di kawasan Batu 8 lekir, saya singgah di sebuah kedai runcit berhampiran masjid. Secara kebetulan saya terjumpa kakak R yang sedang membeli barang di kedai itu. Kakak R terkejut melihat saya berada di situ.

Bermulalah perbualan saya dengan kakak R. menurut cerita kakak R, lebih kurang dua bulan saya ke Kuala Lumpur, R mula sakit tapi tidak diketahui apa sakitnya, ayah R tidak membawanya ke hospital kerana disangka sakit R kena buatan orang.

Setelah keadaannya semakin kritikal barulah dibawa ke hospital Lumut, kemudian dihantar ke hospital Ipoh, tapi R sudah tidak dapat diselamatkan. Doktor mengesahkan R mengidap sakit buah pinggang.

“Kenapa kamu nangis..?”, suara kakak R mengejutkan khayalan saya.

“Eh… Tidak… Tidak… Saya cuma sedih dengar cerita kakak…”, sambil menyapu air mata yang keluar tidak saya sedari.
Bersambung........

No comments:

Post a Comment