Monday, September 19, 2011

Saya Dan Basikal...

Saya ketika umur 13 thn
.

Saya pernah menyimpan cita-cita untuk memiliki sebuah basikal, supaya mudah hendak ke mana-mana, terutamanya ke sekolah, saya pernah menyuarakan hasrat hati saya kepada bapa dan ibu tapi bukan senang untuk membeli sebuah basikal masa itu dengan keadaan kehidupan kami yang serba kekurangan.

Saya mula belajar mengayuh basikal dengan menggunakan basikal besar berpalang tengah, memang sukar dengan keadaan badan saya yang kecil. Pada mulanya memang selalu tunggang-langgang, luka lutut dan siku atas rasa ada keinginan, saya berjaya juga.

Pernah saya jatuh dari basikal kerana terbabas dan melanggar tunggul pokok getah, yang menyebabkan kaki kanan saya terseliuh. Kejadian itu dilihat oleh nenek, bila nenek melihat saya berjalan terhencut-hencut.

Dengan segera nenek datang kepada saya, lantas memegang kaki kanan untuk diurut, sakitnya bukan kepalang menyebabkan saya menjerit kerana tidak tahan sakit dan lari dari nenek.

Suatu hari bapa mengajak saya ke rumah pak tua, di kampung Deralik untuk melihat basikal terpakai jika ada. Hati saya terlalu gembira hinggakan makan pun tidak berselera lagi, rasa tidak sabar untuk pergi melihat basikal di rumah pak tua, dalam hati selalu berbisik harap-harap ada basikal di rumah pak tua.

Di perjalanan saya sudah memasang angan-angan yang kononnya saya sedang mengayuh basikal seorang diri, mungkin laju sedikit dari bapa saya tapi macam mana rupa basikal itu…? Basikal besar atau kecil…?

Hati saya tidak sabar untuk sampai dengan cepat di rumah pak tua. Harap-harap pak tua ada di rumah, basikal pun ada, kalau tidak ada…? Ada…! Mesti ada punya…

Setibanya di rumah pak tua, saya dapati rumah pak tua berkuci, tidak ada penghuninya, ke mana pak tua dan mak tua pergi agaknya…? Alangkah malangnya nasib saya yang diharap-harap ada, rupanya tidak ada.

“Kemana pak tua pergi pak?”, saya bertanya kepada bapa yang sedang duduk di pangkin bawah pokok rambutan.

“Entahlah, kedai kot”, jawab bapa sambil membalut rokok daunnya.

“Kita tunggu kejap”, sambung bapa.

Rasa lapang dada saya mendengar bapa sanggup menunggu.


“Jom kita tengok kat kedai, ada tak?”, saya memujuk bapa.

“Tak payah, kita tunggu saje”, jawab bapa.

“Kejap lagi baliklah tu..”, sambung bapa lagi.

Hati saya semakin resah, kerana hari sudah petang, mungkin bapa tidak sanggup menunggu lagi, saya lihat gerak-geri bapa macam hendak balik sahaja.

Hari semakin petang, di langit mendung mungkin hujan akan turun sebentar lagi. Hati saya semakin risau, mungkin hari ini tidak boleh membawa balik basikal. Saya merayau-rayau di belakang rumah pak tua, berhampiran stor tempat pak tua membaiki basikal. Dari celah lubang dinding, saya mengintai kalau-kalau ada basikal.

Nampak ada sebuah basikal sederhana besarnya, tapi tayarnya tidak ada. Sedang saya mengintai-ngintai, saya terdengar suara adik Mad memanggil saya.

“Abang! tengok apa tu…?”, terkejut saya dibuatnya, lantas menjawab.

“Saja, tengok dalam ni, apa yang ada”, sambil berlalu dan mendapatkan adik saya.

Hati saya gembira sebab pak tua sudah pulang. Saya mengajak adik ke tempat bapa dan pak tua berbual, bapa saya tidak marah, kalau saya mendengar orang tua-tua berbual, cuma jangan menjampuk sahaja, mendengar pun kena ada caranya.

Cara yang saya gunakan ialah sambil bermain-main dengan adik tapi jangan sampai ternganga mendengar orang tua berbual, bapa akan marah juga. Jadi tektik saya hanya berjaya untuk bapa sahaja, jika ada ibu jangan harap, melintas pun tidak boleh.

“Basikal eneng loro, jeng siji orak eneng tayar buri ne…”, saya mendengar pak tua bercakap dalam bahasa jawa.

Maksudnya, “Basikal ada dua, yang satu tak ada tayar belakangnya…”.

Saya faham dalam bahasa jawa, walaupun dari kecil lagi saya bercakap dalam bahasa Melayu dengan ibu dan bapa atau dengan sesiapa sahaja tapi saya memahami, jika mereka bercakap dalam bahasa jawa kasar, jika mereka bercakap dalam bahasa jawa halus, minta maaflah saya tidak faham.
Bersambung....

        BUAT DUIT DENGAN BISNES PRINTING
Rahsia Menjana RM 1000 - RM 3000 Sebulan Setiap Bulan . Tanpa Mesin , Tanpa Pejabat Dan Tanpa Pekerja??? Dapatkan maklumat lanjut PERCUMA !!!  Disini

No comments:

Post a Comment