Sunday, September 11, 2011

Terima Kasih Doktor C




Perbualan saya dengan Siti didengar oleh jururawat yang bertugas di situ, lantas memberitahu saya supaya berjumpa dengan doktor yang mengendalikan urusan berkenaan. Setelah diberitahu oleh jururawat, saya segera mencari pejabat doktor itu dengan membawa surat yang diberi oleh jururawat kepada saya.

Saya mengajak adik ipar saya untuk buat teman, tapi adik ipar saya takut hendak menemani saya, dia bimbang jika dipaksa untuk diambil darahnya. Saya menaiki tangga ke tingkat 3 sendirian dan mencari bilik doktor itu seperti yang dikatakan oleh jururawat tadi.


Akhirnya saya menemuinya setelah bertanya-tanya kepada jururawat yang mundar-mandir di kawasan itu. Pintu sudah terbuka, saya menjenguk ke dalam bilik itu yang seperti sebuah makmal. Ada dua orang yang berpakaian doktor di situ, seorang berketurunan Cina dan seorang lagi Melayu.

“Cari siapa…?”, doktor M menegur saya kerana dia melihat saya terjenguk-jenguk.

“Saya bawa surat ini untuk encik..”, saya menjawab sambil menunjukkan surat yang saya bawa.

 Doktor M mengambil surat itu dan membacanya.

“Oo… Awak hendak bawa balik isteri awak”, kata doktor M.

Saya mengganggukkan kepala sahaja.

“Awak kena bayar RM250.00 dan ganti darah satu point sekarang”, kata doktor M.

“Encik… Saya tak ada duit nak bayar”, jawab saya.

“Awak kerja apa?”, doktor M bertanya.

“Saya kerja sendiri saja”, jawab saya.

“Kerja sendiri itu kerja apa…?”, Suara doktor M agak meninggi sedikit.

“Saya menoreh getah”, saya memberi jawapan.

“Ada surat dari ketua kampung…?”, doktor M bertanya.

“Tidak ada encik..”, jawab saya.

“Awak duduk Gerik…?”, doktor M bertanya lagi.

“Ya..”, jawab saya.

“Sepatutnya awak kena bawa surat itu hari ini”, kata doktor M.

“Saya tak tahu dari awal encik…”, jawab saya.

“Sekarang awak kena ganti darah dulu”, kata doktor M.

Badan saya mula menggigil kerana ketakutan.

“Saya baru saja derma darah encik…”, saya memberitahu doktor M.

“Di mana…?”, doktor M seolah-olah terkejut dengan apa yang saya katakan itu.

Saya mengeluarkan kad derma darah dari poket saya dan menghulurkan kepada doktor M. Doktor M seperti sudah kenal dengan kad itu, tanpa mengambil kad itu, doktor memarahi saya.

“Kenapa awak dermakan darah awak dekat hospital itu…?”, soal doktor M kepada saya dengan nada tinggi.

“Saya perlukan duit encik…”, saya memberi jawapan secara jujur.

“Awak tahu tak, itu satu kesalahan…?”, doktor M memarahi saya.

Saya terdiam dan rasa tidak mampu untuk berdiri lagi, badan saya begitu lemah sekali. Saya bersandar di dinding bilik itu sambil menundukkan kepala bila doktor M mengatakan itu satu kesalahan.

“Kalau saya ambil lagi satu point darah awak… Awak boleh padam…(Mati)”, kata doktor itu yang semakin marah.

Sedihnya saya mendengar perkataan itu. Apakan daya semuanya sudah saya lakukan, saya masih berdiam diri kerana ketakutan.

“Kalau awak tidak boleh gantikan darah, awak kena bayar 200 ringgit untuk darah itu, kalau tidak, isteri awak tidak boleh keluar hari ini…”, kata doktor M lagi.

Saya merasakan diri saya amat malang sekali kerana saya tidak punya wang.

Saya masih berdiam diri sambil menundukkan kepala kerana tidak tahu lagi apa yang hendak saya katakan. Kemudian doktor C menghampiri dan memegang bahu saya.

 “Awak jangan susah hati”, kata doktor C sambil menepuk-nepuk bahu saya.

 “Awak boleh bawa balik isteri awak sekarang…”, kata doktor C.

“Nanti awak boleh bayar sikit-sikit di hospital Gerik…”, kata doktor C lagi.

Mendengar kata-kata itu, saya melihat wajah doktor C itu dengan linangan air mata tanda terlalu gembira. Saya lihat doktor C tersenyum memandang saya.

“Sudah, jangan sedih lagi, nanti saya buat satu surat, awak boleh bawa balik isteri awak”, kata doktor C.

Tidak ada perkataan yang hendak saya ucapkan selain mengangukkan kepala tanda terima kasih. Saya tidak boleh berkata apa-apa kerana dada saya terlalu sebak.

Saya lihat doktor C masuk ke biliknya dan mengambil sesuatu, kemudian dia keluar mendapatkan saya semula.

“Surat ini awak kasi (Berikan) pada jururawat…”, kata doktor C sambil memberi sepucuk surat.

Bertambah sebak dada saya dengan layanan yang diberi kepada saya, air mata saya terus mengalir membasahi pipi.

“Sudah, jangan sedih, awak boleh balik sekarang…”, kata doktor C sambil menepuk-nepok belakang saya.

Saya pegang tangan kanan doktor C tanda terima kasih yang tidak terhingga sebagai ganti tutur kata saya yang tidak dapat saya keluarkan kerana dada saya terlalu sebak. Kemudian saya keluar dari bilik itu bersama keluarnya air mata saya.

Saya tidak boleh berkata apa-apa walaupun saya cuba untuk keluarkan perkataan terima kasih. Saya menuruni tangga dan berhenti di tangga itu seketika untuk meredakan keadaan dan mengeringkan air mata.

Bersambung…….


No comments:

Post a Comment