Tuesday, March 17, 2015

AKU YANG DULU (BHG 2)

Bhg:2.
Felda Lawin Selatan

Aku harus meneruskan kehidupan dengan menggalas tanggung jawab yang diamanahkan kepada aku dengan tabah. Setiap pagi aku akan bekerja di tanah rancangan hingga jam 1.30 petang dengan pendapatan RM7.00 sehari. Selepas makan tengah hari aku akan ke sini seorang diri mencuba nasib menoreh getah pokok tua pada sebelah petang.

            "Ahh, tak boleh jadi ni,
aku mesti keluar dari sini juga…", bisik hati kecil aku.

            Hujan masih belum berhenti lagi tapi memandangkan hari semakin menghampiri malam aku terpaksa pulang dengan meredah hujan. Aku turun dari serambi pondok dengan perlahan dan terus mendapatkan motor yang aku letakkan di tepi pondok supaya tidak basah bila hujan kerana kusyen motor aku sudah koyak tapi sebaliknya motor aku basah kuyup.

            Aku angkat kusyen motor aku untuk mengambil baju hujan yang biasanya aku letak di bawah kusyen tapi malangnya tidak ada di situ. Aku termenung sejenak untuk mengingati semula di mana aku letakkan baju hujan itu.

            "Tertinggal di rumah pulak…", bisik hati kecil aku.

            Aku menghidupkan motor Honda 70 c terpakai yang aku beli secara berhutang 2 bulan yang lalu supaya mudah aku bergerak ke sana ke mari terutamanya untuk bekerja. Setiap bulan aku mesti menyediakan wang RM85.40 sen untuk membayar ansuran motor. Bagi aku motor sangat penting kerana tempat kerja aku terlalu jauh dari rumah samada aku bekerja di tanah rancangan atau menoreh di sini pada sebelah petang.

            Walau pun jumlahnya cuma RM85.40 sen tapi bagi aku jumlah itu terlalu besar dan sukar untuk disediakan pada setiap bulan. Apa yang aku harapkan ialah jika aku dapat menoreh, harapkan pendapatan dari tanah rancangan mungkin aku tidak termampu kerana belanja rumah dan anak sekolah pun selalu tidak mencukupi.

            Aku mula bergerak perlahan meninggalkan pondok itu dengan menyusuri jalan sempit yang hampir ditutupi lalang dalam hujan yang masih lebat. Kilat sabung menyabung diiringi dentuman guruh yang menggerunkan. Malam sudah mula mengganti siang, aku terus bergerak untuk keluar dari jalan sempit dalam kebun getah menuju jalan raya yang masih jauh.

            Aku teruskan perjalanan dengan meredah hujan tapi bila tiba disatu kawasan paya, aku mula tergamam kerana kawasan paya itu sudah dinaiki air menyebabkan titi kecil yang dibuat dari sekeping papan tebal telah dihanyutkan air entah ke mana. Aku tongkatkan motor tanpa mematikan injennya dan aku cuba mencari kalau-kalau papan itu ada tersangkut di mana-mana. Dalam samar-samar aku meninjau-ninjau di kawasan semak beberapa ela dari situ.

            Aku sudah mula kesejukkan, badan aku sudah basah kuyup kerana hujan yang turun semakin lebat, tidak ada tanda-tanda akan berhenti. Nasib aku baik kerana aku menemui papan itu tersangkut dirimbunan pokok keduduk, aku segera mencapai dan aku letakkan di tempat asalnya iaitu sebagai titi untuk menyeberangi parit kecil seluas 4 kaki.

            Hari sudah menjangkau malam, dengan cepat aku mendapatkan motor aku, injinnya masih hidup kerana aku inginkan cahaya lampu untuk menemani aku. Pacat dan nyamuk bermaharaja lela, membaham tubuhku semahunya tanpa ada rasa belas kasihan, yang penting mereka mesti menghisap darah aku.

            Aku sudah biasa dengan pacat dan nyamuk tapi aku tidak membenarkan mereka menghisap darah aku sesuka hatinya jika aku sedar pasti ia akan mati di tangan aku. Dalam keadaan aku sedang cemas, dalam keadaan aku kesejukkan, pacat dan nyamuk sempat mengisi perutnya dengan darah aku dan meninggalkan bekas gigitan pacat yang masih mengalirkan darah dibahagian kaki, perut dan tengkok aku.

            Aku teruskan perjalanan dengan melintasi titi itu dan menaiki bukit dengan jalan yang becak dan licin. Tayar belakang motor berpusing ligat tanpa menggerakkan motor, aku terpaksa menolak dengan kaki supaya motor aku boleh bergerak sedikit demi sedikit mendaki bukit. Jalan raya sudah kelihatan tapi masih jauh lagi, aku berusaha menolak dengan kaki aku untuk cepat sampai di jalan raya.

            Deruan hujan tenggelam dek deruan enjin motor aku yang mengaum dengan kuat, tayar belakangnya berputar laju tapi bergeraknya cuma sedikit itu pun atas bantuan kedua kaki aku. Tubuh aku yang tadinya kesejukkan kini sudah terasa panasnya. Bau hangit dari injin motor mula menyusuk lubang hidung aku.

            Aku cuba sedaya upaya untuk tiba di jalan raya dengan harapan injen motor tidak meragam, cuma beberapa meter saja lagi. Di tepi jalan raya ada 3 buah rumah jika aku mengalami masalah dengan motor boleh juga aku minta bantuan dari penghuninya. Penghuni rumah itu sememangnya sudah mengenali aku jadi tidaklah merasa malu.

            Setelah aku menggunakan seluruh tenaga aku, akhirnya aku sampai juga di tepi jalan raya. Barulah aku merasa lega sedikit tapi perjalan aku masih jauh lagi hampir 30 km dari sini. Aku mesti pulang juga malam ini, isteri dan anak-anak mungkin sedang menunggu di rumah dengan perasaan bimbang.

            Dalam hujan aku bergerak perlahan, lampu motor agak malap sedikit namun aku teruskan juga perjalanan. Air hujan yang mengenai muka amat memedihkan, badan yang tadinya panas sudah mula kesejukkan semula. Jalan raya ini sunyi sepi, di kiri dan kanannya hanya kebun getah, jarang-jarang ada rumah orang.

            Tidak lama kemudian aku tiba di satu persimpangan, di situ banyak rumah-rumah orang yang diterangi oleh cahaya lampu letrik dan jalan raya juga tidak sunyi kerana ada kenderaan yang menggunakan jalan ini walau pun jarang-jarang sekali aku berselisih dengan kenderaan lain, namun aku merasa lega kerana aku tidak bersendirian.

       
    "Kenapa malam ni tak ada kereta lalu…? Hujan agaknya…" Aku bertanya pada diri sendiri dan aku juga yang menjawabnya.

            Sebenarnya ini bukanlah pertama kali aku pulang pada waktu malam tapi sudah beberapa kali, cuma malam ini sahaja aku pulang malam dalam hujan lebat. Biasanya aku pulang sekitar pukul 6.30 petang cuma kadang-kadang aku terlewat sedikit, biasalah, jika awal aku datang, awallah aku pulang.

            Seingat aku hampir sebulan aku berulang-alik dari rumah ke pondok itu, ini adalah kali 5 aku pulang malam dan kali pertama pulang malam dalam keadaan hujan lebat. Dalam keadaan begini aku berharap motor aku tidak meragam injennya, tidak bocor tayarnya. Aku rela basah kuyup, aku, aku sanggup menahan kesejukkan asalkan aku selamat sampai ke rumah.

            Keadaan jalan yang bengkang-bengkok membuatkan aku sentiasa berhati-hati, bimbang kalau-kalau ada pokok tumbang yang menghalang jalan raya. Bimbang jika ada babi hutan melintas jalan yang tidak sempat aku elak. Aku juga risau dalam hujan begini ada gajah melintasi jalan raya tapi aku berdoa agar tidak dipertemukan dengan itu semua.
 
            Hampir separuh perjalanan, aku mula melihat cahaya kenderaan dari arah belakang menerangi malam. Aku terus memandu dengan perlahan tapi kali ini aku kena ketepi sedikit, bimbang dilanggar oleh kenderaan yang sedang aku lihat cahaya lampunya. Sebaik sahaja kereta itu melintasi aku, tiba-tiba pandangan aku menjadi gelap, motor aku jadi terhuyung-hayang seketika tapi dapat dikawal semula.

            Hujan masih lebat, bunyi guruh sahut menyahut, sekali-sekala kilat sabung menyabung, pancarannya menerangi jalan raya buat seketika. Aku terus memandu motor aku dalam keadaan kesejukkan, tubuh makin kuat menggigil. Aku sentiasa meletakkan kaki aku di atas injen motor, dengan cara itu kesejukkan badan dapat dikurangkan.

            Kini aku sudah memasuki kawasan kampung, aku menggunakan jalan kecil kerana jalan ini adalah jalan pintas untuk sampai ke tanah rancangan. Jalan kampung ini agak sempit sedikit, jika 2 buah kereta berselisih maka salah satu kena berhenti untuk memberi laluan. Jalan ini juga agak gelap dan sunyi, tambah lagi di waktu malam dan hujan, sudah tentu tidak ada orang yang menggunakan jalan ini.

            Jalan ini kerap digunakan oleh penduduk tanah rancangan pada waktu siang untuk ke pekan kecil berhampiran kampung ini. Jalan ini juga sering ada gangguan makhluk halus, itu menurut cerita-cerita orang tanah rancangan, benar atau tidak Waullahhualam. Benar atau tidak aku sudah mula rasa takut.

            "Silap aku masuk jalan ini, kalau ikut jalan tanah rancangan kan bagus", Bisik hati aku dengan seribu sesalan.

            Diwaktu malam begini jalan kampung ini terlalu sunyi tambahan pula hujan, tentu tidak ada orang yang melalui jalan ini. Rumah-rumah kampung sudah aku lalui, kini aku berdepan dengan jalan sempit dan dikiri-kanannya adalah belukar, kebun getah yang semak tidak dijaga. Aku tabahkan hati dan berdoa agar tidak bertemu dengan apa yang telah diceritakan oleh orang.

            Aku pandu motor aku dengan perlahan, cahaya dari lampu motor yang kekuningan membuatkan penglihatan aku menjadi kurang jelas, ditambah lagi dengan titisan hujan yang memasuki mata aku. Aku mengusap muka beberapa kali bagi mengelak air hujan terus memasuki mata aku.

            "Eh kenapa ni?", Kata hati aku setelah merasakan motor aku menjadi gelong-gelong.

            Aku terpaksa berhenti di tengah jalan yang sunyi dan melihat apa sudah jadi dengan motor aku, mungkin tayarnya bocor. Aku meraba tayar belakang dan memicik, sahlah tayar belakang sudah tidak ada angin lagi. Terpaksalah aku berjalan kaki dengan menuntun motor dalam keadaan injennya masih hidup untuk mendapatkan cahaya lampu. Aku gunakan gear satu supaya senang aku bergerak. Hujan masih belum reda, tubuh yang tadinya menggigil kesejukkan kini mula terasa panas. 


Bersambug.....

1. 

No comments:

Post a Comment