Thursday, March 12, 2015

AKU YANG DULU (Bhg:1)

Aku Yang Dulu

Gambar hiasan. Foto Google
Hujan masih belum berhenti, hari semakin petang dan tidak lama lagi malam pula akan menjelma. Aku mesti pulang sebelum hari bertukar menjadi malam, isteri dan anak-anak aku pastinya akan risau menunggu di rumah. Air hujan telah memenuhi halaman pondok dimana aku sedang berteduh dari hujan. Pancaran kilat diiringi dentuman guroh yang kuat membuatkan aku rasa takut. angin pula bertiup kencang membuatkan pondok berderak seperti hendak roboh.

            Aku tabahkan hati dan berdoa agar hujan segera berhenti supaya aku dapat keluar dari kawasan kebun getah yang tiada
berpenghuni. Tidak ada manusia lain selain aku di pondok itu, pondok

peninggalan arwah bapa aku yang telah usang dan condong. Atap yang dibuat dari daun bertam sudah bocor di sana-sini, dinding dan lantainya dari buloh sudah mereput dimakan anai-anai.
Anak sulong aku semasa menziarahi ibu bapa yang masih tinggal di pondok itu.

            Bahagian serambi yang masih kukuh itu membolehkan aku duduk bersila di lantai buloh menunggu hujan berhenti sambil melihat air hujan menghanyutkan daun-daun kering dan ranting kayu ke kawasan parit yang pernah digunakan oleh arwah bapa aku sebagai parit memelihara ikan air tawar walau pun parit itu kecil tapi boleh memuatkan 20-30 ekor berbagai jenis ikan.

            Biasanya bila hujan begini parit itu akan dipenuhi air dan akan terus mengalir ke kawasan tasik buatan manusia yang tidak jauh dari pondok ini. Ketika itulah ikan dari tasik akan mudik menyusuri parit dan akan terperangkap di situ kerana arwah bapa telah membuat injap seperti injap bubu. Kini semua itu tinggal kenangan buat aku kerana bapa telah kembali menemui Ilahi.

            Hujan masih belum berhenti lagi perasaan aku semakin resah, aku mula terbayang wajah isteri dan anak-anak di rumah, mungkin mereka juga resah menunggu kepulangan aku. Aku mendongak ke langit sambil berdoa supaya hujan cepat berhenti dan memberi laluan untuk aku keluar dari kawasan kebun getah yang sunyi serta menggerunkan.

            Hasil torehan hari ini telah hanyut di bawa bersama air hujan yang turun secara tiba-tiba. Aku sememangnya tidak menyangka hujan akan turun petang ini kerana sejak aku keluar dari rumah pukul 2.00 petang tadi, cuaca sangat cantik, tidak ada tanda-tanda hujan akan turun, mungkin hari ini tidak ada rezeki untuk aku.

            Beginilah nasib penoreh getah yang bergantung hidup kepada keadaan cuaca, jika cuaca baik dapatlah hasilnya, jika tidak samalah seperti hari ini, lebih dari separuh yang telah aku toreh hanyut dibawa air hujan dan esok mungkin ada harapan untuk aku mencuba lagi.

            Aku mengalihkan pandangan aku kearah jalan keluar yang sempit dan dipenuhi lalang kiri dan kanan, jalan kecil untuk laluan motor itu kini dipenuhi dengan air hujan mengalir deras seperti air sungai layaknya. Malam pula semakin hampir menjegah dan siang semakin berangsur menghilang. Suara katak mula membingitkan telinga seolah-olah menghalau aku keluar dari kawasannya, keluar dari pondok usang yang telah meninggalkan seribu kenangan dalam hidup aku.

            Pondok inilah tempat tinggal bapa dan ibu aku suatu ketika dahulu. Ketika itu aku dan isteri merantau ke Negeri Kedah dan hampir 8 tahun aku dan isteri menetap di sana. Aku bekerja sebagai buruh kontrek ketika itu di sebuah daerah yang bernama Kodiang. Setiap kali cuti aku pasti pulang menemui bapa dan ibu di sini.

            Bapa aku telah membeli tanah ini yang berkeluasan 3 ekar dari seorang kawannya hampir 10 tahun yang lalu, tanah kosong yang dipenuhi lalang jauh kependalaman dan jauh dari perkampungan. Bapa membina sebuah pondok sederhana besarnya dari kayu hutan, beratapkan daun bertam, berdinding dan berlantaikan buloh.

            Aku dapat bayangkan betapa susahnya untuk mendapatkan kayu hutan dan buloh walaupun tidak jauh dari kawasan ini. Bermula dari menebang dan membawanya ke sini dari hutan. Menebang buloh di hutan yang bukan sedikit bilangannya untuk dijadikan dinding dan lantai, mencari daun bertam serta mengayamnya satu persatu untuk dijadikan atapnya, dengan kudrat yang tinggal sedikit kerana dimamah usia, berkat kesabarannya maka terbinalah pondok ini, pondok yang hampir roboh menyembah bumi setelah ditinggalkan bertahun lamanya.


            Pondok ini mula ditinggalkan setelah bapa meninggal dunia, manakala ibu aku bawa tinggal bersama aku di tanah rancangan Felda, hampir 30 km dari pondok ini. Aku datang ke sini setiap petang untuk mencari pendapatan tambahan dengan mengambil upah menoreh di kebun orang yang tidak jauh dari pondok ini.

Bersambung....

1.    

No comments:

Post a Comment