Sunday, March 8, 2015

Meratapi Pemergian Adik.

Dari Bab 3.

Selepas bapa dan ibu menyerahkan adik Jamaliah (Pah. Nama manjanya), kepada pak cik Tugiman dan mak cik Tukiah, saya tidak lagi mendapat apa-apa berita tentang adik saya itu.

Entah macam mana paras rupanya, mungkin serupa dengan adik Rokiah, saya memang ingin melihatnya tapi bapa dan ibu tidak pernah membawa saya bertemu dengan adik Jamaliah. Mungkin bapa dan ibu ada menziarahinya, tanpa membawa saya bersama.

Adik saya yang pertama, yang bernama Rahmad juga jarang bertemu, mungkin bapa dan ibu tidak ada masa, cuma sekali-sekala ada pak tua datang membawa adik Rahmad. Saya sempat bermain untuk seketika, tapi adik Jamaliah
langsung tidak bertemu, sudah lebih dari 3 tahun.

Mungkin akan ada pengantinya sebab saya lihat ibu hamil lagi tapi ibu kelihatan tidak berapa sihat. Saya lihat bapa selalu membawa ibu ke kelinik untuk mendapat rawatan. Apa yang saya fikirkan ialah ingin mendapat adik lelaki, harap-harap kali ini tidak ada yang mengambilnya.

Selang beberapa bulan kemudian, di suatu petang, ibu mengalami sakit-sakit dibahagian belakang. Saya lihat bapa menguru-ngurut belakang ibu. Saya tidak pasti apa yang sedang berlaku kepada ibu. Kesakitan ibu berlarutan hingga ke malam. Saya hanya melihat sambil berbaring di sisi bapa.

Malam itu saya dikejutkan dengan keriuhan suara orang, saya merasa hairan kenapa ramai orang datang tengah malam begini…? Saya lihat bapa dan pak cik Ayup mengusung ibu keluar. Ibu didudukkan di pelantar basikal untuk dibawa keluar ke jalan raya, bapa membawa saya bersama, adik Yah tinggal bersama nenek.

Di dalam kedinginan malam, hanya menggunakan lampu suluh untuk keluar ke jalan raya. Bapa menuntun basikal membawa ibu yang dalam kesakitan, mungkin akan bersalin agaknya.

Sukarnya masa itu, dari rumah untuk keluar ke jalan raya yang jaraknya hampir 2 batu atau mungkin lebih, kerana kereta tidak boleh masuk hingga ke halaman rumah.

Semasa bapa menuntun basikal itu, saya membantu dengan menolak dari belakang untuk mempermudahkan bapa membawa ibu yang berada di pelantar basikal. Dengan keadaan jalan yang tinggi rendah dan berlopak, tambah sukar lagi dengan adanya akar-akar dari pokok getah yang besar dan timbul dari tanah.

Bapa menuntun basikal itu dengan sabar, membawa ibu yang duduk di pelantar basikal sambil menahan kesakitan yang amat sangat. Dalam kegelapan malam dan melalui kesukaran yang amat sangat, kami sampai ke tepi jalan raya.

Setibanya kami di tepi jalan raya, rupanya sudah ada kereta yang sedang menunggu kami. Saya kenal dengan tuan punya kereta itu, iaitu cekgu Bakar yang tinggal di kampung Pasir Panjang, berdekatan dengan sekolah saya.

Cekgu Bakar mengajar di sekolah Pasir Panjang ketika itu. Mungkin pak cik Ayub yang meminta bantuan darinya, kerana pak cik Ayub ada bersama Cikgu Bakar. Bapa dan saya serta pakcik Ayub turut bersama menghantar ibu ke hospital Lumut.

Setelah tiba di hospital Lumut, ibu dibawa ke suatu bilik, untuk mendapatkan rawatan. Saya dan bapa menunggu di luar, manakala pak cik Ayub pulang bersama Cikgu Bakar. Malam itu saya dan bapa tidur di kaki lima hospital sementara menunggu hari siang.

Ke esokkan harinya, nenek datang ke hospital untuk melihat ibu yang masih belum melahirkan, bapa membawa saya pulang, kerana esok saya akan ke sekolah. Nenek yang akan menjaga ibu. Entah mengapa kali ini ibu amat sukar untuk melahirkan anaknya yang ke lima.

Setelah 2 hari ibu berada di hospital. Di suatu petang, sedang saya bermain-main dengan adik Yah di halaman rumah. Saya terlihat nenek pulang dengan membawa sesuatu yang digalas dengan kain pelikat. Kelihatannya nenek amat tergesa-gesa sekali, apakah bungkusan yang dibawa oleh nenek itu…?

Nenek memanggil saya masuk ke rumah, saya lihat nenek meletakkan bungkusan itu di lantai dengan perlahan sekali, lantas menyuruh saya menjaganya kerana nenek hendak memanggil orang.

“Apa tu nek…?”, saya bertanya kepada nenek.

Sambil berlalu nenek menjawab “ini adik kamu, sudah meninggal”.

Tersentak hati saya mendengarnya. Benarkah kata nenek…? Hati saya terlalu kuat ingin melihatnya.

Dengan perasaan sayu dan hiba, didorong rasa ingin melihat wajah adik saya buat kali pertama dan terakhir. Tapi rasa takut pun ada, kerana tidak ada sesiapa di situ cuma saya dan adik Yah yang sedang bermain di luar rumah.

Saya beranikan diri untuk membuka bungkusan itu, dengan perlahan dan hati yang berdebar-debar saya membukanya. Tiba-tiba air mata saya mengalir membasahi pipi bila melihat wajah adik yang pucat kebiruan kerana sudah tidak bernyawa lagi.
Bersambung.....

Rahsia Menjana RM 1000 - RM 3000 Sebulan Setiap Bulan . Tanpa Mesin , Tanpa Pejabat Dan Tanpa Pekerja??? Dapatkan ebook di sini.

No comments:

Post a Comment