Friday, April 17, 2015

PANCING (bhg 2).


Sayup kedengaran laungan suara azan yang menandakan waktu subuh sudah masuk waktunya. Aku segera berkemas untuk menunaikan solat, sebelum itu aku kejutkan isteri dan anak-anak. Selepas itu aku menuju ke ruang dapur lantas menuruni tangga untuk ke bilik air yang jaraknya tidak jauh dari ruang dapur. Bilik air yang berdindingkan kepingan zing dan berkeluasan 4x6 kaki.


Suara ayam hutan berkokok jelas kedengaran dari belakang rumah yang jaraknya cuma beberapa ela sahaja. Tidak ada rumah peneroka di belakang rumah aku melainkan hutan yang menjadi sempadan antara rumah aku dengan ladang kelapa sawit milik felda. Ayam hutan seperti sudah jinak kerana aku pun sudah tidak memperdulikannya lagi, tidak seperti mula-mula menetap di rumah ini. Aku sering menahan jerat ayam hutan yang banyak berkeliaran di kawasan hutan sempadan itu.

Bila fajar mulai menyinsing menampakan cahaya di langit, aku bersiap untuk menghantar anak ke sekolah, jaraknya dari rumah 1km lebih kurang kerana aku tidak pernah mengukurnya cuma angaran sahaja. Jalan perkanpungan felda agak sibuk pagi itu kerana ramai peneroka menghantar anak masing-masing ke sekolah dengan menggunakan motorsikal yang berbagai rupa. 

Pelindung tayarnya patah, tempat duduk berbalut pelastik beras, lampunya tak menyala, cermin lampu tak ada dan macam-macam lagi, maklumlah kami masih serba kekurangan dari segi pendapatan. Yang banyak ketika itu ialah anak-anak yang masih bersekolah, satu motor 2 ke 3 anak untuk dihantar ke sekolah.

Selesai semua tugas, aku mulakan rancangan aku hendak pergi memancing. Cuaca kelihatan agak baik pagi ini selepas hujan semalam cuma kabus masih belum berlalu kerana sang matahari belum memberi sinar dan tidak lama lagi sinar akan menelan kabus.

Aku memandu motor berjenama Honda c70 seorang diri menuju ke sungai lebih kurang 2km dari rumah tapi aku akan mudik ke hulu sungai melalui jalan balak. Oleh kerana hujan semalam jalan menjadi lecah, air bertakung di sana sini. Yang paling sukar apabila mendaki bukit tinggi, dengan jalannya yang licin dan berlopak menjadikan tayar belakang motor berpusing tanpa memacu ke depan. Aku terpaksa membantu dengan kaki untuk menggerakkan motor ke depan sedikit demi sedikit. Ngauman enjin motor memecahkan kesunyian hutan belantara.

Setelah sampai pada puncaknya aku mesti berhati-hati kerana diawal pagi seperti ini belum ada manusia lain melalui jalan ini, itupun kalau ada orang bekerja menebang pokok kayu balak. Biasanya jika hujan semalam tentu tidak ada yang masuk bekerja kecuali hanya aku pada hari ini, tapi tujuan aku lain dari mereka. Aku hendak memancing di satu jeram yang jarang orang datang ke tempat itu kalau bersendirian. Biasanya 3 ke 4 orang, sebab tempat itu sunyi dan jauh dari manusia.

Bukan aku nak tunjuk berani tapi memang prinsip aku tidak suka berkawan ketika memancing. Aku lebih suka bersendirian kerana aku rasa lebih tenang dan nyaman. Bertemu babi hutan sudah biasa bagi aku, kerana aku tahu binatang itu tidak ganas, namun dalam hati sentiasa berdoa tidak bertemu binatang buas dan binatang besar bertelinga besar tapi tidak mustahil mereka ada di hutan ini. Sepanjang jalan yang aku lalui ini pun kelihatan ada longgokkan najis binatang besar bertelinga besar.

Lebih kurang 40 minit perjalanan, aku tiba di tempat yang aku katakan itu. Deruan air terjun sahaja sudah menyeramkan tambahan pula dalam hutan yang jauh dari manusia. Aku memerhatikan sekeliling sebelum aku turun ke bawah melalui tebing berbatu. Setelah aku rasakan selamat baru aku mula menuruni jeram dengan memijak batu-batu besar tersusun seperti tangga layaknya. Percikkan air terjun terasa dingin sekali.

Sampai di bawah, aku berdiri di tepi batu besar untuk memerhatikan di sudut mana aku boleh mula memancing. Di hadapan aku sekarang ini sebuah lubok besar, airnya berpusing-pusing mengelilingi satu batu sederhana besarnya yang berada ditengah-tengah lubok ini. Aku tak perlu ke batu tengah itu memadai di bahagian tepi lubok sahaja.

Setelah menemui tempat yang sesuai, aku mula mengenakan umpan di mata kail yang berjorankan batang bertam yang aku tinggalkan semasa aku datang dua minggu yang lalu. Masih boleh digunakan kerana aku sorokkan di bawah batu besar supaya tidak terkena hujan, walau sudah agak kering tapi aku pasti joran ini masih tahan. Aku mula campakkan mata kail yang bersalut umpan ke dalam air yang sedikit tenang. 

Aku tak punya wang untuk membeli joran dan kekili walaupun yang murah, keinginan tentulah ada....buat masa ini memadailah dengan menggunakan batang Bertam sebagai joran... mungkin suatu hari nanti aku dapat memiliki joran dan kekili yang sederhana harganya...

Sepuluh minit sudah aku menunggu namun umpan belum dijamah oleh ikan... Sabar menunggu... biasanya ikan tengas dan ikan kelah ada di lubuk ini...2 minggu lepas aku dapat 2 ekor ikan kelah...3 ekor ikan baung... Bersambung..

No comments:

Post a Comment