Wednesday, August 24, 2011

Air Mata 31 Ogos


Sedang saya berbual-bual dengan Siti, tiba-tiba pemuda India itu datang mencari saya dan melawat Siti. Kami berbual bersama di situ hingga habis waktu melawat. Saya keluar beriringan dengan pemuda itu. Kami duduk di kawasan tempat letak kereta.

Pemuda India itu kelihatan baik walaupun kakinya cacat, kakinya tempang sebelah kanan kerana kemalangan jalan raya semasa berumur 8 tahun.

Ceritanya kepada saya. Ketika itu dia menaiki basikal bersama bapanya hendak ke sekolah, tiba-tiba sebuah kereta terbabas dan melanggarnya.



Bapanya meninggal semasa di hospital akibat dari kemalangan itu, dan dia patah kaki kanannya, itu yang menyebabkan dia jadi tempang.

Ceritanya lagi. Sejak bapanya meninggal, dia dan ibunya tidak ada tempat bergantung, ibunya mengambil upah mencuci pakaian untuk menyara dia dan 2 orang adiknya.

Semasa bapa ada, hidupnya tidaklah susah sangat, kerana bapanya bekerja sebagai buruh JKR. Dia terpaksa berhenti sekolah kerana ibunya tidak mampu, cuma adiknya seorang lelaki dan seorang perempuan yang terus bersekolah.

Ibunya meninggal dunia ketika dia berumur 17 tahun. Sejak ibunya tiada, dialah yang menjaga adik-adiknya. Dia berasal dari Sungkai, dan sekarang (masa itu) menetap di Tanjung Malim dan bekerja sebagai makenik motor di sebuah kedai Cina di pekan tersebut.

Dari ceritanya, saya mula berfikir, bahawasanya di dunia ini ada insan yang lebih malang dari saya. pemuda India itu yang lebih mesra dengan panggilan Gopal, sudah kehilangan ibu bapanya, cacat pula kakinya, terpaksa menjaga dan menyara adik-adik semuda usianya.

Setelah lama kami berbual, saya minta undur diri kerana saya hendak pergi ke kedai untuk membeli barang yang Siti pesan. Tapi Gopal ingin ikut bersama ke kedai, saya melarang Gopal mengikuti saya, memandangkan keadaannya yang sukar untuk berjalan jauh, tapi katanya dia sudah biasa.

Saya dan Gopal bejalan keluar dari kawasan hospital, menyusuri jalan raya menuju ke kedai yang hampir 2 km jauhnya. Kami berjalan perlahan, sambil berbual-bual tentang masa lalu. Kali ini giliran saya menceritakan kisah saya pula.

Setelah saya dan Gopal membeli barang keperluan, kami pulang semula ke hospital kerana waktu melawat pukul 4.30 petang sudah hampir.

Setibanya di hospital itu tepat pada waktu melawat, kami sama-sama masuk ke wad, kali ini saya terus mengikuti Gopal untuk melawat isterinya dahulu sebelum saya bertemu Siti. Gopal memperkenalkan kepada saya isterinya benama Kumala.

Kemudian saya minta diri untuk ke wad di mana Siti di tempatkan. Saya keluar meninggalkan mereka berdua. Saya memberitahu Siti, bahawa saya telah melihat isteri Gopal sebentar tadi. Keadaannya sama juga dengan Siti, melahirkan anak melalui pembedahan.

Semasa keluar dari wad, Gopal memberitahu saya, dia akan pulang ke Tanjung Malim petang ini, kerana esok dia perlu bekerja. Saya sangkakan Gopal akan tidur di hospital malam ini boleh juga menjadi teman saya.

Malam itu saya terasa terlalu letih. Sejak saya mengeluarkan satu point darah dari badan, saya selalu merasa keletihan dan mudah pening kepala, badan saya juga terlalu lemah.

Lebih kurang jam 10.30 malam, saya menyeludup masuk ke kawasan larangan untuk tidur awal sambil merehatkan badan. Seperti semalam, saya akan tidur di bangku panjang berhampiran bilik mayat.

Malam itu nasib saya kurang baik. Saya tersedar dari tidur kerana dikejutkan oleh 2 orang polis dan seorang pengawal. Dalam keadaan terpingga-pingga saya bangun, belum sempat saya berdiri, salah seorang dari polis itu memegang tangan saya dan dikilas ke belakang.

Seorang lagi menyekongkar beg saya, yang mereka ditemui adalah baju yang tidak dibasuh dan ubat nyamuk. Kemudian polis itu mengambil dompet dan melihat kad pengenalan saya.

“Awak buat apa di kawasan ini…?”, soal salah seorang dari polis itu.

“Saya tunggu isteri saya bersalin…”, jawab saya yang masih penik dengan situasi itu.

Pengawal itu menyuluh muka saya, baru pengawal itu mengenali saya dan memberitahu 2 orang polis itu bahawa cakap saya adalah benar.

“Ooo… Dia inikah…. Dia tunggu isterinya bersalin…. Sudah banyak hari dia ada di sini…”, kata pengawal itu kepada dua orang polis.

Barulah saya dilepaskan, tapi mereka tetap memarahi saya kerana memasuki kawasan larangan. Polis mengarahkan saya keluar dari situ segera. Saya akur dengan arahan itu, sambil menitis air mata saya mengambil beg dan beredar dari situ.

Mungkin polis itu menyangka saya ini penagih dadah. Dengan keadaan diri saya yang tidak terurus, rambut panjang kusut-masai, badan kurus tidak cukup vitamin, pakaian selekeh, memang tidak salah jika mereka mengesaki saya penagih.

Saya berjalan keluar dari kawasan hospital dan duduk di pondok menunggu bas di hadapan hospital itu sambil menitis air mata, mengenang nasib malang menimpa. Saya duduk sambil memikirkan di manakah tempat yang selesa sedikit untuk merehatkan badan yang semakin lemah.

Betapa sedapnya jika tidur di rumah, walaupun di lantai buloh dan bertikarkan mengkuang, ia tetap diulit mimpi. Tapi kesihan Siti tidak ada teman yang akan menemaninya walaupun hanya pada waktu melawat sahaja.

Saya bercadang untuk tidur di pondok bas itu sahaja, tapi saya takut ada lanun, perompak atau pencuri. Duit saya tidak banyak, cuma ada 15 ringgit sahaja, tapi jika dirompak nanti saya hendak pulang ke Gerik dengan apa…?

Kalaulah diri saya ini diibaratkan sebuah bukit, mungkin juga berharga dan dipandang mulia walaupun berada di tengah lautan. Tapi apakan daya, saya cuma ibarat sebutir pasir di tengah lautan, hilang dari pandangan, jauh sekali untuk dinilai.

Mungkin ini sudah suratan takdir, saya mesti lalui kehidupan seperti ini. Air mata mula mengalir membasahi pipi. Hidup ini cuma bertemankan air mata, yang seolah-olah bersimpati dengan penderitaan ini.

Ketika saya termenung sendirian di pondok bas itu, saya melihat sekumpulan manusia sedang berarak membawa bendera dan diiringi kereta berhias dengan kerlipan cahaya lampu hiasan berbagai warna, melintasi hadapan saya, sambil melaungkan perkataan.

“Merdeka… Merdeka… Merdeka…”.

Baru saya teringat esok 31 Ogos. Mereka menyambut hari kemerdekaan malam itu dengan bersorak beramai-ramai, dengan gembira sekali tanpa memperdulikan saya yang sedang menangis, di dalam sebuah Negara, yang Merdeka….

Saya hanya melihat perarakkan hari Merdeka itu hingga selesai. Kemudian saya masuk semula ke kawasan hospital menuju ke ruang menunggu. Saya duduk di kaki lima bangunan sambil menyandarkan belakang saya ke dinding. Badan saya terlalu lemah tidak terdaya untuk berdiri dan berjalan.

Mata saya terasa amat mengantuk sekali, mungkin di situ saya akan tidur. Bolehkah saya tidur di situ sedangkan ramai mata memandang saya, malu pun ada, kerana cuma saya seorang sahaja yang duduk di kaki lima itu.

Saya bangun dari situ mencari jika ada bangku panjang yang masih kosong, ternyata tidak ada yang kosong, semuanya ada penghuninya. Saya kembali semula di kaki lima itu. Biarlah mereka memandang saya. Bersambung……..

No comments:

Post a Comment