Friday, August 19, 2011

Menaruh Harapan Di Kuari.

BAB 18.
Beginilah kerja saya.


Setelah berbual dengan saya mereka semua bergerak ke tempat kerja dengan meninggalkan saya sendirian di pangkin itu. Beberapa minit kemudian seorang perempuan muda menggamit saya dari pejabat. Saya terus menuju ke arahnya.

“Pengurus panggil awak”, kata perempuan itu setelah saya mendekatinya.

Hati saya berdebar-debar sambil membuka pintu pejabat.

“Selamat pagi…”, Pengurus itu mendahului saya, sepatutnya saya
yang mengucapkan selamat pagi.

“Selamat pagi”, jawab saya.

“Duduk”, Pengurus itu mempelawa saya duduk di kerusi berhadapan dengannya.

“Hang (Kamu) dari Gerik…?’, kata Pengurus itu.

“Nama hang (Kamu) apa…?”, kata Pengurus itu lagi. Soalan pertama belum dijawab sudah ditanya soalan kedua.

“Nama saya Nor, datang dari Gerik…”, saya jawab kedua-duanya sekali.

“Hang (Kamu) sudah tengok (Lihat) tempat kerja di belakang bukit itu”, kata Pengurus itu lagi.

“Belum, nanti saya masuk”, jawab saya.

“Kalau hang (Kamu) hendak pinjam dit (duit), minta dari kerani itu…”, kata Pengurus sambil menunjukkan ke arah kerani yang berada di bahagian hadapan. Saya cuma menganggukkan kepala sambil senyum.

“Hang (Kamu) boleh panggil aku Ali”, kata Pengurus itu.

“Ali…?”, kata hati saya kehairanan.

“Melayukah atau Cina dia ini…”, kata hati saya lagi sambil memerhatikan wajahnya.

“Aku Cina, tapi sudah terkenal dengan panggilan Ali”, kata Pengurus seolah-olah telah mengetahui isi hati saya.

Mungkin Pengurus itu melihat saya dalam delima. Saya rasa sudah mula ada perasaan sedikit gembira, kerana mereka yang saya temui begitu mesra dengan saya, seperti sudah kenal lama.

“Hang (Kamu) sudah minum pagi”, kata Ali.

“Sudah, dengan Tupai tadi”, jawab saya.

“Jom kita pi (Pergi) minum”, Ali mengajak saya minum pagi.

Saya menolak tawaran minum pagi beberapa kali, tapi Ali tetap mempelawa saya minum bersamanya. Saya seperti terpaksa mengikutinya menuju ke kereta.

“Di mana ada kedai?”, saya bersuara.

“Di pekan Kodiang”, kata Ali.

“Ini peluang saya untuk melihat Kodiang….”, bisik hati saya.

Dari dalam kereta saya dapat melihat keindahan kawasan sawah padi yang menghijau sejauh mata memandang, di selang-seli dengan bukit batu di beberapa tempat.

“Not tak penah mai Kodiang…? (Nor tidak pernah datang Kodiang?)”, suara Ali yang perasan saya sedang memerhatikan sekeliling.

“Ini pertama kali saya sampai di sini…”, saya menjawab.

Ketika sampai di pekan Kodiang, Ali menghentikan keretanya di hadapan sebuah Restaurant (Restaurant Hussin). Kemudian saya dan Ali masuk ke dalam dan duduk di satu penjuru. Ali memesan roti canai 2 dan teh tarik 2.

“Hang (Kamu) sudah kawin…?”, tanya Ali sambil membetulkan kedudukanya.

“Sudah kawin, ada anak seorang…”, jawab saya.

“Nanti hang (Kamu) sudah kerja lama, cari rumah sewa”, kata Ali.

“Saya fikir begitu juga”, jawab saya.

“Berkenaan rumah sewa hang (Kamu) bagi tahu Cek Lah, dia kenai (Kenal) orang sini”, kata Ali sambil menghirup teh tarik yang sudah berada di hadapan kami.

Selepas makan dan minum di Restaurant itu, kami beredar untuk ke kuari semula. Saya rasa jarak dari pekan kecil Kodiang ke kuari dalam lingkungan 3 batu.

“Nama bukit tempat kita kerja itu, bukit kandis”, kata Ali.

“Bukit kandis…?”, jawab saya yang mula kehairanan, kerana saya fikir itu bukit Kodiang.

Beberapa minit kemudian, saya dan Ali tiba di kuari itu. Ali tidak memberhentikan keretanya di pejabat, tapi terus menuju ke belakang bukit untuk melihat kawasan tempat kerja. Ali berhenti berdekatan dengan tokong, kemudian dia menunjukan kawasan tempat kerja.

Saya dapat melihat Tupai, Beek, Cek Lah dan Ah Hong serta Ramli di lereng bukit sedang membuat kerja menggerudi lubang menggunakan Hand Drill. Dengan memegang tali yang di ikat pada pokok di puncak bukit untuk keselamatan. Kerja seperti itu sememangnya bahaya, bertaruhkan nyawa untuk mendapatkan wang.

“Esok hang (Kamu) boleh mula kerja”, kata Ali.

“Boleh”, jawab saya.

Ali mendapatkan keretanya lalu keluar dari kawasan itu untuk ke pejabat semula dengan meninggalkan saya sendirian di situ. Saya duduk di bawah pokok asam jawa berhanpiran tokong, sambil melihat mereka bekerja untuk mendapatkan sedikit pengetahuan tentang kerja-kerja itu.

Saya mula berfikir seronok juga kerja di sini, sebab mereka semua kelihatan baik dan mudah mesra. Saya yang masih baru, dilayan seperti sudah kenal lama. Pengurus pun tidak sombong malahan saya dianggap seperti kawan.

Saya menghabiskan masa hingga tengah hari di situ, kemudian saya kembali semula ke pondok bersama mereka untuk makan tengah hari. Mereka memasak sendiri di pondok itu kemudian makan beramai-ramai kecuali Ah Hong dan Cek Lah, kerana mereka ada rumah sendiri di kampung itu.

Selepas makan tengah hari, mereka memulakan kerja mereka semula. Saya duduk di pangkin pondok itu sendirian sambil memikirkan apakah perancangan seterusnya jika saya serasi bekerja di situ. Yang pertama sekali ialah mencari rumah sewa, supaya saya boleh membawa isteri dan anak saya tinggal bersama.

Buat sementara saya akan tinggal bersama mereka di pondok itu dengan harapan mereka tidak mabuk seperti se malam. Sedang saya termenung di pangkin itu, seorang demi seorang datang menegur saya.

Saya berbual dengan Tok Embun di pangkin itu untuk menghilangkan rasa jemu. Dari perbualan saya dengan Tok Embun maka kenallah saya setiap seorang dari pekerja di kuari itu. Tok Embun akan memberitahu satu persatu kepada saya.

Jam 5.00 petang, mereka semua pulang setelah selesai tugas. Keadaan di kuari itu mula sunyi setelah mesin di kuari itu di matikan. Tupai dan Beek bersiap hendak ke kedai setelah selesai mandi dan menukar pakaian. Saya ikut serta untuk mengetahui di mana kedai yang paling dekat dengan pondok itu.

Dengan berjalan kaki, menyusuri ban (Batas) tali air, kami sampai di sebuah kedai kampung yang di miliki oleh seorang Cina. Tupai membeli barang keperluan untuk makan malam. Saya cuma melihat Tupai membeli barang.

Dalam perjalanan pulang dari kedai, saya bertanya kepada Tupai tentang cara membeli barang keperluan makanan, adakah dengan cara berkongsi atau sebaliknya. Menurut kata Tupai barang makanan seperti beras gula kopi di sediakan oleh Cek Lah, cuma yang lain-lain kena beli sendiri, seperti ikan dan sayur di beli secara berkongsi.

Selepas makan malam saya berbual dengan Tupai dan Beek di pondok itu sementara mata belum mengantuk lagi. Banyak cerita yang di ceritakan oleh Tupai kepada saya malam itu.

Itu adalah malam kedua saya berada di pondok kecil bertemankan Tupai dan Beek. Mereka kelihatan riang sekali, mungkin mereka sudah lama dan biasa di situ. Tupai berasal dari Gurun Kedah, usianya dalam lingkungan 50an, masih kuat bekerja lagi.

Beek berasal dari kawasan Kodiang, berketurunan Siam, masih muda lagi, mungkin dalam lingkungan 20an, dan sudah berkahwin, tinggal di Padang Sira, Kedah. Cek Lah tidak tinggal di pondok itu bersama kami, kerana dia ada rumah mertuanya di kampung Kandis, tidak jauh dari kuari.

Ah Hong juga ada rumah sendiri di Alur Setar, berulang setiap hari dari rumah ke tempat kerja di kuari itu. Berketurunan Cina kampung, fasih berbahasa Melayu Kedah. Bapanya mempunyai kilang padi di kampung, dalam daerah Alur Setar.

Itulah yang di ceritakan oleh Tupai kepada saya malam itu. Tupai sudah 2 tahun lebih bekerja di kuari itu, manakala Beek lebih kurang 6 bulan. Yang paling lama bekerja di kuari itu adalah Cek Lah, hampir 5 tahun. Nama Syarikat kuari itu ialah Lewata Industri.

Bermulalah kerjaya saya sebagai pemecah batu di kuari itu. Hari pertama saya bekerja berbagai kesukaran yang saya lalui, kerana bukit itu terlalu tinggi dan curam, tidak seperti di tempat yang pernah saya bekerja dahulu, di Banding dan Bersia.

Saya terpaksa menggunakan tali untuk keselamatan, tapi tali itu tidak di ikat pada pinggang saya, cuma memegang ketika perlu untuk memudahkan saya beralih dari satu tempat kesatu tempat dengan jarak 5 kaki setiap satu lubang yang saya buat.

Bersambung....


1.       Anda tidak perlu menjadi cantik semata-mata untuk disayangi kerana kehebatan anda di ranjang akan menjadikan anda sentiasa 'dirindui' suami anda???  Dapat ebook di sini.

No comments:

Post a Comment