Friday, August 19, 2011

Temanku Tomi Dan Popi..

Dari Bab 3.

Dari rumah hendak pergi ke sekolah melalui jalan pintas, terpaksa melalui kebun-kebun getah, dan hampir 3 batu jauhnya. Jika bapa tidak ke kebun, bapa akan menghantar ke sekolah, tapi jika bapa ke kebun saya akan berjalan kaki yang di temani tomi dan popi.

Kenapa saya kata tomi dan popi pandai…? Sebab, anjing memang tidak disukai oleh orang kampung tempat sekolah saya, jadi sebelum sampai ke kampung itu, ada sedikit hutan belukar, di hutan belukar itulah tomi dan popi bersembunyi, menunggu hingga
saya pulang dari sekolah.

Bukan sekali dua tetapi setiap kali saya ke sekolah jika berjalan kaki, saya tidak mengetahui sama ada tomi dan popi itu merayau atau tidak, tapi tidak pernah diketahui oleh orang kampung, jika ditemui oleh orang kampung, pasti sudah kena tembak.

Setiap kali saya pulang dari sekolah, jika mendengar suara saya, tomi dan popi akan muncul dihadapan saya, untuk pulang bersama. Tomi dan popi sangat setia dengan saya, ke mana sahaja, pasti tomi dan popi ikut kecuali ke pekan.

Selepas sekolah, biasanya saya akan ke hutan yang berdekatan dengan rumah untuk mencari burung, menahan jerat, dengan membawa lastik dan batu kecil sebagai peluru, serta ditemani oleh tomi dan popi. Walaupun tomi dan popi hanya binatang tapi tomi dan popi tidak pernah meninggalkan saya seorang di hutan.

Pernah suatu masa, saya merajuk kerana dipukul oleh ibu, tempat saya merajuk adalah di hutan itu, sambil menangis saya akan ke hutan berhampiran, diiringi oleh tomi dan popi, saya duduk di bawah sebatang pokok besar, yang akhirnya saya tertidur.

Saya tersedar dari tidur, apabila saya terdengar suara bapa memanggil nama saya, ketika itu hari sudah senja, kata bapa, tomi pulang dalam keadaan gelisah, di muka pintu rumah, bapa mengesyaki mungkin ada sesuatu yang buruk berlaku kepada saya, lantas mengikuti tomi ke hutan dan menemui saya sedang tidur.

Maknanya, tomi dan popi menjaga saya ketika saya tertidur, dan pulang memberi tahu bapa bila hari sudah senja. Itulah tomi dan popi yang saya kenal. Walaupun anjing itu hina di mata kita, tapi anjing pandai membalas jasa tuannya.

Suatu masa, ibu mendapat tempat menoreh yang baru iaitu berdekatan dengan kampung Pasir Panjang Laut. Manakala bapa menoreh di tempat lama, jarak dari kebun ibu menoreh ke sekolah kira-kira satu batu setengah, jadi untuk memudahkan saya ke sekolah, ibu membawa saya pergi ke kebun jam 3.00 pagi dengan membawa pakaian sekolah dan ditemani oleh tomi dan popi.

Sampai di kebun, ibu menyalakan unggun api dangan menghamparkan guni untuk saya tidur, sementara menunggu hari siang. Sementara itu ibu menoreh dan saya tidur di temani tomi dan popi.

Bila hari sudah siang ibu kejutkan saya untuk bersiap memakai pakaian sekolah, saya berjalan kaki bertemankan tomi dan popi, selepas menghantar saya, tomi dan popi pulang ke tempat ibu menoreh.

Saat yang menyedihkan saya, suatu hari saya dapati tomi dan popi tidak pulang ke rumah, hampir seminggu saya mencari di hutan namun bayangnya pun tidak kelihatan, entah ke mana tomi dan popi menghilang.

Hampir dua bulan tidak juga muncul-muncul, saya mula merinduinya, mungkinkah mati kerana sakit? Kalau sakit dan mati tidak mungkin kedua-duanya sekali? Sangat menghairankan saya.

Menurut cerita dari bapa saudara saya, seminggu yang lepas, semasa pulang dari tempat kerja, bapa saudara saya ada melihat 6 orang Cina sedang melapah anjing di tepi anak sungai. Dari warna bulu anjing itu bapa saudara saya dapat mengecam, itulah tomi dan popi, tapi bapa saudara saya tidak berani hendak menegurnya.

Sedih saya mendengar berita itu lantas teringat-ingat gelagat tomi dan popi semasa hidupnya, tomi dan popi banyak berjasa kepada saya, menangis saya sendirian di belakang rumah.

Bapa saya dapat memahami perasaan saya, yang sentiasa dalam kesedihan dan bapa berjanji akan mencari penggantinya, tapi hati saya rasa tawar, kalau ada pengganti sekali pun mungkin tidak sama dengan tomi dan popi yang begitu setia, pandai menjaga saya, menghantar saya ke sekolah dan menunggu saya pulang dari sekolah.

Tomi dan popi selalu menemani ibu ke kebun, menemani saya ke hutan, saya sangat sayangkan tomi dan popi mungkin tidak ada penggantinya lagi. Kata bapa semua itu boleh di ajar jika ada anjing yang baru.

Sejak tomi dan popi tidak ada lagi, saya jarang ke hutan atau merayau mencari burung dan menjerat. Saya tidak ada kawan yang sebaya dengan saya di rumah, cuma dua ekor anjing yang sudah tiada. Saya masih ingat, tomi dan popi menolong saya ketika saya diganggu oleh budak-budak nakal di sekolah.

Masa itu di sekolah, budak-budak nakal dan kuncu-kuncunya mengejek-ngejek saya yang sedang melintas dihadapan mereka dengan perkataan yang tidak sopan, saya membalas dengan menunjukkan genggaman penumbuk ke arah mereka, mereka tambah berang lalu mengejar saya beramai-ramai tapi saya berlari ke arah cekgu yang sedang berbual. Mereka terhenti di situ, tidak berani lagi mendekati saya.

Rupanya peristiwa itu tidak berakhir di situ, waktu pulang dari sekolah mereka 6 orang telah menunggu di laluan saya pulang, di tepi rimba jauh dari pandangan mata orang kampung.
Bersambung.......

      Anda tidak perlu menjadi cantik semata-mata untuk disayangi kerana kehebatan anda di ranjang akan menjadikan anda sentiasa 'dirindui' suami anda???  Dapat ebook di sini.


No comments:

Post a Comment