Friday, August 19, 2011

Zaman Saya Kecil...

BAB 2.

Pagi itu cuaca agak dingin sekali, saya bagun awal dari biasa, diluar hujan agak lebat diiringi angin yang kadang-kadang kencang, kadang-kadang perlahan, diselangi bunyi guruh yang mengerunkan.

Saya melihat bapa duduk di muka pintu rumah, sambil menghisap rokok daunnya. Termenung sambil melihat keluar, mungkin hujan yang turun itu merungsingkan fikiran bapa, kerana tidak dapat pergi ke kebun hari itu.

Kerja sebagai penoreh getah, bergantung kepada keadaan cuaca, jika cuaca mengizinkan dapatlah hasilnya, jika musim hujan yang berpanjangan, sudah tentu
tidak ada hasil dari menoreh getah.

Jika hujan berlarutan, kami sekeluarga cuma makan ubi kayu rebus dengan ikan masin atau nasi yang dicampur ubi kayu, tapi yang saya suka ubi kayu kepal. Saya pernah melihat ibu membuat ubi kayu kepal, ubi kayu direbus hingga empuk dan ditumbuk sampai lumat.

Kemudian dimasukkan sedikit gula dan kelapa parut dan digaul hingga sebati, selepas itu dikepal-kepal menjadi seperti bebola dan digoreng, itulah makanan kami jika tidak ada beras.

Ada masanya ibu buat ubi kayu tumis, ubi yang belum direbus dipotong kecil-kecil, kemudian ditumis dengan mencampurkan ikan bilis, sedikit garam dan sedikit air, selepas itu ditumis hingga empuk, inilah hidangan waktu malam kami.

Zaman sekarang, makanan ringan seperti keropok dan lain-lain berlambak di kedai, apa sahaja yang kita rasa hendak makan semua ada, sebab sekarang duit mudah. 50 sen tidak ada masalah untuk mendapatkannya, malahan nilai itu dirasakan terlalu kecil.

Zaman saya dahulu, 5 sen sangat bernilai sekali, itu pun bukan selalu ada, makanan ringan yang dijual di kedai pun tidak seperti sekarang. Jadi orang zaman saya banyak buat sendiri makanan ringan, seperti keropok yang dibuat dari ubi kayu.

Saya pernah makan biji buah getah yang digoreng. Bila tiba musim buah pokok getah, ibu akan bawa saya pergi mengutip biji buah pokok getah, berhampiran dengan rumah, setelah dikumpulkan ibu akan pecahkan kulitnya, ambil isi dan dibelah dua untuk membuang mata tunasnya.

Kemudian direbus hingga masak, tapi tidak boleh dimakan lagi, kerana perlu melalui beberapa proses. Setelah direbus perlu direndam sehingga 3 hari, setelah cukup tempoh 3 hari, tukar air dan diperam selama 3-4 hari lagi, barulah dikeringkan airnya, kemudian digoreng, rasanya lebih sedap dari kacang goreng. Itulah makanan ringan kami masa itu.

Ibu pernah buat sayur dari pucuk pokok getah. Bila musim pokok getah berpucuk, ibu akan memetiknya dari dahan yang rendah, dibuangnya tetulang daun yang ditengah, kemudian direbus dan dibuang airnya, selepas itu barulah dibuat masak lemak, rasanya lebih kurang dengan pucuk ubi kayu.

Selain itu ibu akan mencari daun tunjuk langit, bayam tanah, daun pegaga, cendawan tahun, cendawan kukor (cendawan kukur atau sisir ini biasanya tumbuh pada batang pokok getah yang sudah mati), yang tumbuh liar di kebun, untuk dibuat sayur. Saya suka makan kueh yang dibuat daripada cendawan kukor, ibu saya pandai buat kueh tersebut.

Masa itu, ibu jarang membeli sayur di pasar, sebab duit susah untuk berada lama di tangan, Cuma ketika jual getah keping, masa itu penoreh getah mesti buat getah keping, tidak seperti sekarang ada pilihan sama ada hendak jual getah cair atau getah sekrap.

Bapa akan membeli barang keperluan di pekan bersama ibu, saya akan ikut sekali untuk melihat-lihat barang permainan, cuma melihat sahaja, hendak meminta takut dapat cubit jadi pendamkan sahaja.

Kalau ibu beli pun makanan ringan dalam kotak kecil, yang mengandungi permainan kecil, sebesar jari kelingking, kadang-kadang ada kereta kecil, kadang-kadang ada patung askar, kadang-kadang cuma gambar sahaja, harganya pun murah, cuma 5 sen sekotak. Itulah permainan saya yang saya kumpulkan setiap kali ke pekan atau ikut bapa pergi ke kedai.

Suatu hari bapa dan ibu membawa saya dan adik ke rumah orang kenduri, iaitu keluarga ibu saya di kampung Sungai Ramai, Air Tawar, Perak. Di situ saya lihat ramai orang yang sedang membuat kerja-kerja kenduri, saya melihat mereka memperoses ayam.

Masa itu kalau ada kenduri-kendara. Mereka akan menyembelih ayam kampung, sebab belum ada ayam daging lagi. Zaman itu setiap rumah mesti ada memelihara ayam kampung.

Yang uniknya, perut ayam tidak dibuang, mereka membelah perut ayam menggunakan sembilu buloh secara beramai-ramai, untuk dibuat kerabu campur pucuk ubi dan pucuk paku, riuh rendah suara-suara mereka yang bekerja bergotong-royong untuk kenduri pada hari esoknya.

Saya dapat rasakan kemeriahan majlis kenduri itu, ada yang buat lawak, ada yang ketawa terbahak-bahak, ada yang buat kerja, ada yang buat diam sahaja, ada yang buat tidak kisah, macam-macam kerenahnya tapi memang meriah.
Bersambung......

Anda tidak perlu menjadi cantik semata-mata untuk disayangi kerana kehebatan anda di ranjang akan menjadikan anda sentiasa 'dirindui' suami anda???  Dapat ebook disini.

No comments:

Post a Comment