Tuesday, August 30, 2011

Durian Emas...



Petang itu cuaca masih diselubungi mendung yang masih belum berlalu, mungkin akan mengundang hujan malam ini. Begitulah kehidupan keluarga saya, yang tidak ada sumber lain, selain dari menoreh getah yang bergantung kepada keadaan cuaca.

Sudah dua hari saya tidak ke sekoah dan sudah dua hari bapa dan ibu tidak ke kebun untuk menoreh, jadi pendapatan kami juga terjejas. Tadi bapa memberitahu ibu beras sudah habis, petang ini bapa akan keluar ke pekan untuk membeli beras.

Oleh kerana hujan mulai reda sedikit walaupun mendung masih menyelububungi alam, dengan perlahan, bapa mengambil basikalnya untuk ke pekan.

“Ikut pak?”, saya bersuara.




“jom…”, kata bapa.

Dengan pantas saya mencapai basikal dan mengekori bapa ke pekan.

Di kedai asam, saya mendengar bapa meminta secupak beras dari taukey kedai itu.

“Satu cupak saja ka..”, kata taukey kedai.

“Duit tak ada hendak beli banyak, musim hujan sekarang”, jawab bapa.

Bapa duduk di bangku kaki lima kedai, saya juga duduk disebelah bapa sambil menunggu taukey kedai menyiapkan beras.

Setelah siap saya dan bapa pulang ke rumah, di pertengahan jalan kami disambut dengan hujan yang agak lebat, bapa mencari-cari jika ada tempat berteduh. Nampaknya ada tempat berteduh, jika dibenarkan oleh tuannya boleh kami tumpang di garaj keretanya.

Bapa dengan cepat menuju ke tempat itu yang tidak jauh dari jalan raya. Tuan punya rumah itu seorang Cina separuh umur, sedang duduk di muka pintu.

Kami disambut dengan salakkan tiga ekor anjingnya dengan kuat. Tuannya memarahi anjingnya, supaya berhenti menyalak. Anjing memahami bahasa tuannya, terus sahaja dia berhenti dari menyalak kami,

“Taukey tumpang luluk (duduk) sikit jam, ujan punya pasai”, suara bapa dalam loghat Cina, meminta izin dari tuan rumah.

“Bole…bole…(Boleh)”, jawab tuan rumah sambil menghulurkan bangku kecil untuk kami berdua.

“Luluk..luluk…lulu(Duduk-duduk dulu)”,kata tuan rumah itu. Mungkin dia kurang fasih berbahasa Melayu agaknya.

Walaupun bahasa Melayunya tidak cantik, tapi dia mempunyai hati yang cantik, kerana memberikan kami bangku yang cantik juga. Seorang perempuan, hampir separuh usia, keluar serta menghulurkan kami dua biji buah epal.

“Alek…makan bua lulu…”, kata permpuan separuh umur itu (alek, dia memangil saya, maksudnya adik makan buah dahulu).

Saya memang pantang nampak buah epal, macam orang kebuluran, maklumlah, zaman saya bukan mudah hendak membeli buah seperti itu.

Saya dengan lahapnya memakan buah epal, kulit biji, tangkai semua saya makan. Bapa hanya memegang buah epal itu, mungkin bapa segan hendak memakannya.

Setelah hujan mula berhenti, bapa minta diri untuk pulang dari tuan rumah itu dan mengucapkan terima kasih, kerana memberi keizinan kami berteduh dan memberikan lami dua biji buah epal.

Kami kayuh basikal dengan laju kerana bimbang hujan akan turun lagi. Jalan raya menuju ke kampung Pasir Panjang yang kami lalui agak lengang sedikit.

Tiba di satu simpang kami terus membelok memasuki kawasan kebun getah milik orang Cina untuk sampai ke rumah.

Tiba di rumah, adik Yah sudah menunggu di tangga, menyambut kepulangan kami. Bapa memberikan buah epal kepada adik Yah…. Sekarang, baru saya tahu, kenapa bapa tidak mahu makan tadi, rupanya bapa teringatkan adik Yah di rumah.

Itulah hati seorang bapa kepada anaknya, sanggup tidak makan buah itu, hanya untuk diberikan kepada anaknya. Sedangkan saya, makan tidak ingat adik dan ibu yang berada di rumah.

Zaman saya kecil, buah epal dan buah anggor sukar untuk mendapatkannya kerana tidak mampu untuk membelinya. Bukan kerana harganya tapi kewangan kami tidak mengizinkan.

Buah-buahan seperti itu hanya akan dibeli jika diantara kami ada yang sakit atau demam kerana tidak ada selera makan nasi. Jadi buah-buahan seperti itu tidak penting bagi kami jika kami sihat.

Zaman kanak-kanak memang teringin sangat bila melihat buah epal, anggur dan buah lai. Tidak seperti buah-buahan tempatan, rambutan, manggis dan sebagainya kerana buah-buahan tempatan mudah di dapati bila tiba musimnya walaupun kami tidak memiliki pokoknya.

Tapi berbeza dengan buah durian, zaman saya kecil, buah durian di anggap seperti emas kerana harganya yang mahal menyebabkan keluarga saya tidak mampu untuk membelinya.

Pernah juga bapa saya membeli buah durian tapi cuma sebiji untuk 4 orang makan dengan cara di campur dalam bubur kacang. Saya dan adik Yah cuma mendapat seulas seorang sahaja, bakinya akan dicampur dalam bubur tersebut.

Zaman saya kecil, sememangnya buah durian dianggap seperti emas. Jika bapa dapat membelinya sebiji yang kecil pasti akan dikongsi beramai-ramai dengan cara seperti yang saya sebut sebentar tadi. Saya rasa bukan kerana harganya, mungkin dari segi kemampuan keluarga saya.

Saya masih ingat lagi dan masih segar di minda saya. Ketika itu saya masih bersekolah darjah 4. Di suatu petang sedang saya bermain-main di halaman rumah nenek bersama adik Yah tiba-tiba hidung saya terhidu bau durian.

“Adik… Adik ada bau durian tak?”, saya bertanya kepada adik Yah untuk memastikannya.

Adik Yah yang sedang memegang tali kereta mainan yang saya buat daripada kayu itu berdiri tegak sambil hidungnya kembang kincup untuk menghidunya.

“Ada…? Emm… Sedapnya”, kata adik Yah sambil mencari-cari dari arah mana bau durian itu datang.

“Dari rumah pak cik Dun(Bukan nama sebenar) ni?”, kata saya.

“Jom kita pergi tengok”, adik Yah mengajak saya.

“Jom”, saya menjawab sambil berjalan menuju ke rumah pak cik Dun yang bersebelahan dengan rumah nenek.

Dari luar saya dan adik Yah berdiri tepi tingkap separas tengkok saya, manakala adik Yah terpaksa berjinjing untuk melihatnya.

“Wow…. banyaknya durian”, saya agak terkejut bila melihat buah durian yang banyak itu, sekitar 7-8 biji.

Pak cik Dun bersama isteri dan 2 orang anaknya sedang memakan durian itu tanpa memperdulikan saya dan adik Yah yang sedang melihat dari tingkap. Oleh kerana saya dan adik Yah terlalu lama berdiri di tingkap hingga menimbilkan rasa tidak selesa pada pak cik Dun.

“Pergi main jauh-jauh! Jangan suka tengok orang makan!”, suara pak cik Dun memarahi saya dan adik Yah.

Saya menarik tangan adik Yah untuk pergi jauh dari tingkap itu dengan rasa kecewa dan hampa kerana tidak di pelawa malahan menghalau anak saudaranya supaya bermain jauh dari halaman rumahnya.

Peristiwa itu di dengar dan di lihat oleh nenek yang ketika itu secara kebetulan nenek keluar untuk memetik daun sirih di tepi rumahnya (Pak cik Dun). nenek menghampiri saya ketika saya dan adik Yah bermain di halaman rumah nenek.

“Jangan suka tegok orang makan!”, kata nenek dengan suara perlahan sambil memulas telinga saya.

Kerana rasa sakit dipulas teliga saya oleh nenek, saya menanggis perlahan. Adik Yah lari masuk ke dalam rumah nenek. Saya tidak berani hendak menanggis kuat di depan nenek kerana takut akan di tambah sekali lagi (Pulas telinga).

Bersambung…….



No comments:

Post a Comment