Friday, August 19, 2011

Pertama Kali Belajar Berpuasa....

Dari Bab 5.
Dalam foto ini adalah cucu saya. Semasa saya seusia
cucu saya ni, begitulah keadaan badan saya.

Selang beberapa minggu kemudian, tibalah masanya menyambut bulan Ramadhan. Saya masih ingat, ketika saya mula-mula diajar berpuasa oleh ibu dan bapa saya. Ketika itu saya baru berumur 9 tahun lebih kurang, hari pertama saya berpuasa, untuk menghabiskan waktu berpuasa sangatlah sengsaranya.

Masa itu jam berpusing begitu lambat sekali, hari pun begitu lambat untuk malam. Saya rasa sudah tidak dapat menahan rasa lapar dan dahaga, saya minta kepada ibu untuk berbuka awal tapi ibu melarang, kerana jam sudah pukul 5.00 petang.

Dua jam yang saya tunggu macam dua bulan lamanya, mata saya tidak jemu-jemu memandang jam di dinding. Rasa hendak dipusingkan jarumnya, supaya cepat berbuka. Lutut saya sudah tidak mampu untuk berdiri tegak, badan terlalu lemah dan menggigil. Saya tidak dibenarkan mandi waktu petang, takut mencuri-curi minum air semasa mandi.

Di atas meja sudah tersedia berbagai jenis kueh-mueh, yang membuat saya tidak tertahan untuk menjamahnya, lebih-lebih lagi yang berwarna merah, karipap yang ibu buat sangat menyelerakan.

Nenek pula menghantar sepotong buah tembikai yang tersangatlah merah warnanya, dua kali pandang lagilah merah warnanya tidak sanggup lagi hendak memandangnya.

“Aduh…lambatnya jam…”, bisik hati saya.


Mata saya memandang jam di dinding, sambil tersandar di tiang rumah kerana tidak mampu hendak berdiri. Begitulah kadaannya, sewaktu mula-mula belajar berpuasa dahulu. Kini saya sudah berumur 11 tahun, berpuasa tidak menjadi masalah bagi saya.

Seperti biasa setiap kali bulan puasa, ibu akan membuat kueh berbagai jenis, untuk berbuka puasa dan dihantar kepada jiran-jiran. Sudah menjadi kebiasaan keluarga saya, berbuka puasa hanya makan kueh sahaja, makan nasi cuma sewaktu bersahur.

Di bulan puasa, saya tidak merayau ke hutan atau banyak bermain, masa banyak saya gunakan untuk melukis di rumah, saya minat juga melukis pemandangan tepi laut, pemandangan hutan dan awan larat.

Sebelum saya mampu membeli warna, saya hanya menggunakan sebantang pengsil sekolah, lukisan saya ketika itu cuma hitam putih sahaja. Setelah bapa membelikan pensil warna (bukan jenama Luna, tapi yang paling murah) barulah likisan saya mempunyai warna.

Saya mula menggunakannya untuk melukis warna warni dengan menggunakan sedikit air untuk meratakan warnanya. Saya tidak pandai melukis cuma suka-suka sahaja, untuk mengisi masa lapang di bulan puasa.

Kadang-kadang saya menolong ibu membuat kueh untuk berbuka puasa. Ibu suka buat bermacam-macam kueh ketika bulan puasa, itu yang menyeronokkan saya, sebab hari-hari biasa tidak ada kueh seperti itu.

Syaratnya saya mesti kena berpuasa, kalau saya tidak berpuasa, atau didapati saya mencuri-curi makan, jawapannya, saya akan duduk di luar ketika ibu dan bapa berbuka, hinggalah selesai mereka makan. Masa itu nasiblah, jika ada sisa-sisa, adalah habuan saya.

Begitulah peraturan yang perlu saya patuhi. Cara orang dahulu mendidik anak sangat tegas, anak-anak menjadi lebih takut untuk membantah, melawan jauh sekali. Saya lebih takut dengan ibu dan nenek, sebaliknya saya banyak mendampingi bapa kerana bapa saya tidak garang dan tidak pernah memukul saya seumur hidupnya, memarahi saya dan adik juga tidak pernah.

Empat hari sebelum Syawal, ibu sudah sibuk membuat kueh raya, seperti bahulu, kueh samprit, rempeyek kacang tanah, rempeyek kacang hijau dan bapa akan membuat kueh bakar, membuat dodol serta lemang bila telah diumumkan esok hari raya.

Masa itu untuk mendengar pengumuman hari raya hanya melalui radio sahaja. Malam raya, saya dan kawan-kawan tidak akan tidur sampai pagi raya.

Malam hari raya bapa akan membakar lemang dan saya akan menunggu sehingga lemang masak, saya sangat suka lemang ketika itu. Sementara menunggu lemang masak, saya dan kawan-kawan, bermain mercun, bunya api dan meriam buloh.

Mercun ketika itu sekeping yang besar mengandungi 20 biji mercun, cuma 30 sen, yang kecil 30 sen 4 keping. Dua minggu sebelum hari raya, bapa telah membelikannya berbagai jenis dan disimpan hingga malam raya baru boleh main.

Kebiasaannya, saya akan membuat meriam tanah atau meriam buloh, tapi bapa tidak menggalakkan meriam buloh, kerana merbahaya dan mudah pecah. Meriam tanah tidak terlalu merbahaya, kerana menggunakan tin minyak kacang, yang disambung-sambung menjadi panjang, kemudian ditanam di dalam tanah dan muncungnya keluar hampir mendongak ke langit.

Meriam tanah sangat digemari ketika itu kerana bunyinya yang kuat, boleh didengar hampir 10 batu jauhnya. Jika orang kampung Pasir Panjang meletupkan meriam, kami dapat mendengarnya begitu juga sebaliknya. Masa itu berlawanlah siapa yang paling kuat bunyinya, dan sanggup membunyikan sampai pagi.

Baju raya biasanya ibu dan bapa akan membuat sendiri, itu pun menggunakan mesin jahit klasik jenama Singer yang dipusing menggunakan tangan, mesin itu milik nenek.

Saya tidak ambil kisah cantik atau tidak, asalkan dapat pakai baju Melayu, siap bersamping untuk pergi menunaikan solat hari raya di masjid kampung Pasir Panjang bersama bapa dan kawan-kawan.

Selepas solat, saya dan bapa akan menziarahi kubur arwah datok dan arwah adik di kampung itu, yang tidak jauh dari masjid lama. Selepas itu kami akan pulang ke rumah untuk makan kueh, lemang, ketupat dan bermain dengan kawan-kawan.

Di kampung Kayu Ringgis tidak ramai budak-budak yang sebaya dengan saya, jadi saya tumpang main sahaja dengan budak-budak kecil.

Bersambung.


No comments:

Post a Comment